Indeks Pengeluaran Perindustrian susut 3.3% pada April 2023 akibat penurunan dalam semua sektor – DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian susut 3.3% pada April 2023 akibat penurunan dalam semua sektor – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 3.3% tahun ke tahun (YoY) pada April 2023 akibat penurunan dalam semua sektor berbanding peningkatan 3.2% dalam bulan Mac 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Bagi perbandingan bulan ke bulan (MoM), jabatan itu berkata IPP merosot 10.8% selepas mencatatkan pertumbuhan 8.4% pada Mac 2023.

 

Jelasnya, penurunan pada April 2023 adalah berikutan penguncupan dalam semua sektor, iaitu perlombongan sebanyak 4.9% (Mac 2023: 0.8%) diikuti pembuatan dengan 3% (Mac 2023: 4.1%) dan elektrik pada 2% (Mac 2023: 0.4%).

 

Jelasnya, kemerosotan sektor pembuatan sebanyak 3% pada April 2023 merupakan penyusutan kali pertama sejak Julai 2021, dipengaruhi terutamanya oleh penurunan industri berorientasikan eksport sebanyak 3.5% (Mac 2023: 3.6%).

 

“Di samping itu, penguncupan industri berorientasikan eksport pada April 2023 adalah yang pertama direkodkan dalam tempoh 34 bulan berikutan penurunan dalam pembuatan produk getah sebanyak 16.5% serta pembuatan komputer, elektronik dan produk optik yang merosot 1.8%,” jelasnya.

 

Manakala industri berorientasikan domestik menyusut 2.1% disebabkan kemerosotan dalam pembuatan kenderaan bermotor, trailer dan semi-trailer (15.5%), pembuatan minuman (5.5%) dan pembuatan produk prosesan makanan (4.9%).

 

 

dosm

 

 

Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan menguncup 11.4% selepas mencatatkan 7.8% pada Mac 2023.

 

Sementara itu, pengeluaran dalam sektor perlombongan menyusut 4.9% pada April 2023, dipengaruhi oleh kemerosotan berterusan dalam indeks gas asli sebanyak 7.8% dan kejatuhan marginal 0.9% dalam indeks minyak mentah dan kondensat.

 

Berbanding Mac 2023, indeks Perlombongan mencatatkan penurunan dua digit 10.7 % berbanding kenaikan 8.5 % yang direkodkan pada Mac 2023.

 

Begitu juga dengan pengeluaran elektrik yang berkurang 2% pada April 2023 selepas merekodkan sedikit peningkatan 0.4% pada Mac 2023.

 

Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik turun 4.8% berbanding pertumbuhan positif 15.1% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

 

Bagi empat bulan pertama 2023, IPP menyederhana kepada 1.3% berbanding tempoh yang sama pada 2022 dan dalam tempoh tersebut, indeks pembuatan dan perlombongan masing-masing meningkat sebanyak 1.8% dan 0.3%, manakala indeks elektrik jatuh 1.2%. -DagangNews.com