India dan China pacu peningkatan eksport minyak sawit | DagangNews Skip to main content

India dan China pacu peningkatan eksport minyak sawit

sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Prestasi eksport minyak sawit negara dijangka akan terus kekal berdaya saing untuk tempoh akan datang.

MIDF Research berkata, menilai kepada jangkaan itu, dua negara dilihat menjadi pemacu kepada perkembangan positif berkenaan.

"Kami berpendapat peningkatan eksport pada Oktober 2020 disebabkan oleh pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan India menjelang perayaan Deepavali.

"Menilai kepada perkembangan hadapan, kami percaya permintaan eksport akan terus berdaya tahan dalam waktu terdekat kerana dua pembeli minyak sawit terbesar Malaysia iaitu India dan China.

"China pula akan menambah bekalan minyak sawit menjelang Sambutan Tahun Baharu China nanti," jelas MIDF Research.

Eksport minyak sawit pada Oktober 2020 mencatatkan peningkatan sebanyak 3.8% bulan ke bulan kepada kira-kira 1.67 juta metrik ton (mt).

Peningkatan itu didorong oleh prestasi eksport berterusan minyak sawit ke India yang melonjak sebanyak 13.1%.

Sementara itu, inventori minyak sawit negara untuk tempoh sama menyaksikan penurunan sebanyak 8.8% bulan ke bulan kepada 1.57 mt.

Jumlah itu merupakan tahap inventori yang rendah sejak Jun 2017.

Prestasi kurang memberangsangkan itu disebabkan oleh tahap pengeluaran yang rendah sebanyak -7.8% dan ekport yang lebih tinggi dengan peningkatan 3.8%.

Bagaimanapun, prestasi inventori itu lebih tinggi sebanyak 0.9% berbanding jangkaan yang dibuat oleh konsensus. - DagangNews.com