JAKARTA 18 Julai - Indonesia telah membatalkan levi eksportnya untuk semua produk minyak sawit sehingga 31 Ogos ini dalam usaha terbaharu untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan inventori yang tinggi, kata pegawai Kementerian Kewangannya semalam, sambil menambah langkah itu tidak akan mengganggu pendapatan kerajaan.
Keputusan oleh pengeksport minyak sawit terbesar dunia itu boleh menekan lagi harga, yang telah jatuh kira-kira 50% sejak akhir April ke paras terendah dalam lebih setahun.
Pengeluar minyak sawit Indonesia telah bergelut dengan inventori yang tinggi sejak negara itu mengenakan larangan eksport selama tiga minggu sehingga 23 Mei untuk mengurangkan harga minyak masak domestik.
Sejak menarik balik larangan tersebut, Jakarta telah melaksanakan peraturan mengenai jualan tempatan mandatori – dikenali sebagai obligasi pasaran domestik (DMO) – untuk menyimpan hasil di rumah bagi dijadikan minyak masak.
Pada masa yang sama, ia telah cuba `membersihkan' tangki simpanan dengan memotong cukai eksport dan melancarkan program pecutan penghantaran, tetapi eksport kekal perlahan dan syarikat telah menyalahkan peraturan DMO, serta masalah mendapatkan kapal kargo.
Penyingkiran levi itu bertujuan untuk menyokong lagi eksport, kata ketua agensi dasar fiskal kementerian, Febrio Kacaribu kepada pemberita di luar mesyuarat kewangan G20 di Bali.
"Dalam konteks hasil kerajaan, (kesannya) tidak akan terlalu besar," katanya.
Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati berkata levi eksport minyak sawit progresif akan dikenakan, mulai 1 September ini, dengan kadar ditetapkan antara AS$55 dan AS$240 setiap tan bagi minyak sawit mentah, bergantung kepada harga. Stok minyak sawit yang tinggi telah memaksa kilang mengehadkan pembelian buah sawit.
Petani mengadu buah mereka yang tidak terjual dibiarkan reput. Terdapat 7.23 juta tan minyak sawit mentah dalam tangki simpanan pada akhir Mei, data daripada Persatuan Minyak Sawit Indonesia (Gapki) menunjukkan pada Jumaat.
Gapki mengalu-alukan langkah baharu itu, tetapi ia mengesyorkan peraturan DMO dihapuskan juga, kata setiausaha agungnya Eddy Martono.
“Buat masa ini, keluarkan DMO… sehingga stok turun kepada tiga juta hingga empat juta tan. Masalah kami sekarang ialah inventori terlalu tinggi,” katanya kepada Reuters. – DagangNews.com