Indonesia lulus pinjaman asing AS$700 juta beli pesawat Airbus A330 MRTT tingkatkan keupayaan strategik tentera udara | DagangNews Skip to main content

Indonesia lulus pinjaman asing AS$700 juta beli pesawat Airbus A330 MRTT tingkatkan keupayaan strategik tentera udara

Pesawat Airbus A330 MRTT milik tentera udara Singapura.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 7 Sept - Indonesia meluluskan pinjaman asing sebanyak AS$700 juta bagi perolehan dua buah pesawat Airbus A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) bagi meningkatkan keupayaan tentera udara.

 

MRTT merupakan pesawat pengangkut membawa bahan bakar yang boleh melakukan pengisian kepada pesawat lain di udara khususnya semasa penerbangan jarak jauh.

 

Ia boleh membawa sebanyak 111,000 liter bahan bakar.

 

Dengan kedudukan geografi Indonesia sebagai negara berpulau, memiliki pesawat MRTT akan melonjakkan keupayaan strategik angkatan udaranya untuk beroperasi.

 

Ini menjadikan Indonesia sebagai negara kedua di Asia Tenggara yang mengoperasikan pesawat MRTT selepas Singapura.

 

Pesawat
Korea Selatan antara tiga negara di rantau  Asia Pasifik memiliki pesawat MRTT kerana kos operasinya yang tinggi.

 

Airbus
Airbus A330 MRTT turut digunakan tentera negara NATO.

 

Dalam rantau Asia Pasifik pula, hanya tiga negara memiliki pesawat canggih dan mahal ini iaitu Australia, Korea Selatan dan Singapura.

 

Kementerian Pertahanan Indonesia (KEMHAN) memaklumkan bahawa rancangan untuk memperoleh Airbus A330 MRTT telah memasuki fasa kontrak efektif.

 

Pengumuman itu dibuat susulan pertemuan antara Timbalan Menteri Pertahanan Indonesia, M Herindra dengan pihak Airbus di Jakarta.

 

Perolehan dua pesawat Airbus A330 MRTT ini termasuk dengan dengan instrumen sokongan dan alat ganti.

 

KEMHAN
Herindra (empat dari kiri) semasa mengadakan pertemuan dengan pihak Airbus di Jakarta.

 

Difahamkan, kontrak untuk Airbus A330 MRTT ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebagai tambahan kepada beberapa perolehanan lain dengan pihak Airbus.

 

Selain perolehan MRTT, aset lain yang telah dipersetujui KEMHAN dengan Airbus ialah tawaran mendapatkan helikopter antikapal selam, helikopter H225 untuk pengangkutan dan pesawat pengangkut strategik A400M.

 

Kejayaan Airbus mendapatkan kontrak pertahanan dengan Indonesia ini merapatkan lagi pengaruh Perancis dalam kerjasama industri antara kedua negara.

 

Ini setelah firma Dassault berjaya memeterai kontrak AS$2.3 bilion dengan Indonesia tahun lalu untuk perolehanan 42 buah pesawat tempur Dassault Rafale.

 

Airbus
Dua  pesawat A400M bakal dimiliki Indonesia.

 

Airbus
Pesawat A400M milik TUDM.

 

Indonesia sejak empat tahun lalu telah merancang untuk mendapatkan pesawat MRTT dan telah menilai beberapa jenis pesawat yang sesuai.

 

Antaranya ialah pesawat Boeing KC-46A, Ilyushin Il-78 dan A330 MRTT. 

 

Pemilihan pesawat itu bagaimana pun bergantung pada pilihan pembiayaan dan program pemindahan teknologi yang bersesuaian.

 

Dalam pada itu, persetujuan Indonesia untuk mendapatkan pesawat Airbus A400M menjadikan ia negara pemilik kedua selepas Malaysia di rantau ini serta pengguna ke-10 di dunia.

 

Malaysia mula menggunakan empat buah pesawat A400M pada tahun 2015.

 

Airbus

 

Dua tahun lalu, Jakarta mengumumkan akan memperoleh dua dua buah pesawat Airbus A400M Atlas dalam varian pesawat pengisi minyak dan pesawat pengangkut.

 

Pesawat A400M ini akan menjadi aset paling penting bagi tentera udara republik tersebut dalam misi-misi bantuan kemanusiaan dan bencana alam.

 

Tawaran yang diberikan Airbus termasuk opsyen bagi pembelian tambahan empat buah lagi pesawat berkenaan pada masa akan datang. - DagangNews.com