Industri halal Malaysia tarik RM16.1 bilion pelaburan sejak 2011 | DagangNews Skip to main content

Industri halal Malaysia tarik RM16.1 bilion pelaburan sejak 2011

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Mac - Industri hab halal Malaysia atau halal parks telah meraih jumlah pelaburan terkumpul sehingga RM16.1 bilion sejak tahun 2011. 

 

Daripada jumlah keseluruhan berkenaan, sebanyak RM9.5 bilion atau 59% merupakan pelaburan langsung asing (FDI), sementara RM6.6 billion atau 41% merupakan pelaburan langsung domestik (DDI).

 

Pada tahun lalu sahaja, DDI dalam industri halal tempatan menyaksikan lonjakan sebanyak RM0.2 bilion atau 1.25% di sebalik cabaran pandemik COVID-19, menurut Halal Development Corporation Berhad (HDC). 

 

Bagaimanapun, eksport halal negara menguncup kira-kira RM10 bilion dari segi nilai keseluruhannya, menurun daripada RM40.2 bilion pada 2019 kepada RM30.5 bilion bagi sepanjang tahun lalu, kata HDC. 

 

“Berdasarkan sumber data dan analisis proprietari untuk tahun 2020, dari segi perdagangan dua hala, Singapura muncul sebagai pengimport produk halal terbesar Malaysia bagi tahun lalu. 

 

“Dengan nilai keseluruhan eksport sebanyak RM4.10 bilion, negara itu mendahului China di tempat kedua, RM3.44 bilion, manakala Amerika Syarikat (AS) pula di kedudukan ketiga dengan nilai RM1.74 bilion.

 

“Dua lagi jiran Malaysia, Thailand (RM1.48 bilion) dan Indonesia (RM1.34 bilion), masing-masing muncul di tangga keempat dan kelima, dan dilihat telah mengurangkan impak ekonomi akibat penutupan sempadan negara,” jelas HDC dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Tambah kenyataan itu, penguncupan nilai eksport berkenaan juga selari dengan penurunan 19% jumlah pengeksport halal Malaysia, daripada 1,876 pada tahun 2019 kepada 1,507 pada 2020.

 

Selain disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan (PKP), kemerosotan itu juga sejajar dengan garis masa penambahbaikan sistem bagi proses pensijilan halal dalam memudahkan pembaharuan sijil dan penghantaran dokumen sokongan secara dalam talian.

 

Dari segi penyertaan mengikut sektor, Makanan dan Minuman terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal dengan RM17.40 bilion nilai keseluruhannya, menurut HDC. 

 

Ini diikuti oleh Bahan-Bahan Halal (RM8.83 bilion), Kosmetik dan Penjagaan Peribadi (RM2.67 bilion), Derivatif Minyak Sawit (RM0.89 bilion), Pengindustrian Kimia (RM0.47 bilion) dan Farmaseutikal Halal (RM0.30 billion).

 

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, pada awalnya eksport halal tahunan Malaysia diunjurkan mampu mencapai kira-kira RM42 bilion pada tahun 2020. 

 

Hairol Ariffein Sahari
Hairol Ariffein Sahari

 

Namun, katanya, 2020 merupakan tahun mencabar dengan ketidaktentuan dalam harga minyak global selain negara masih lagi dalam usaha pembendungan penularan COVID-19.

 

“Walaupun berdepan ketidaktentuan itu, namun, industri halal Malaysia terus menunjukkan daya tahan didorong oleh asasnya yang kukuh. 

 

“Di HDC, kami melihat terdapat banyak ruang untuk berkembang terutamanya dengan landskap pengeksport Malaysia yang berkembang dari dalam negara, serta kami berhasrat untuk memperkasakan lagi pasaran halal Malaysia menerusi program strategik ketika waktu-waktu mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan sama.

 

Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Hairol berkata, HDC akan terus berusaha untuk memenuhi misinya dalam memudahkan penyertaan pemain industri ke dalam ekonomi halal.

 

Selain itu, agensi tersebut juga akan berusaha untuk meningkatkan jumlah eksport halal dan pelaburan langsung ke dalam halal parks Malaysia, ujarnya lanjut.

 

Ini sekali gus menyaksikan beberapa inisiatif sedang dibangunkan bagi tujuan tersebut termasuk pengenalan Halal Parks oleh HDC, Platform Bersepadu Halal (HIP), Institut Latihan Halal serta Perunding dan Penasihat Halal HDC untuk menarik sekurang-kurangnya 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Dari segi industri tenaga kerja dan pakar, HDC telah melatih seramai 2,337 kakitangan dalam program latihan pengurusan halal pada tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 60,000 kakitangan yang telah dilatih sejak 2011. - DagangNews.com