Industri ICT sumbang RM359.3 bilion pada KDNK 2021 - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

Industri ICT sumbang RM359.3 bilion pada KDNK 2021 - Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR 14 Okt - Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyumbang 23.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021, yang menyaksikan pertumbuhan 12.1% kepada RM359.3 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. 

 

Ia merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri ICT (NDKTICT) sebanyak 14% dan e-dagang bagi industri lain sebanyak 9.2%.

 

Pada 2021, NDKTMK meningkat kepada RM217.1 bilion dengan pertumbuhan yang lebih baik iaitu 7.8% berbanding 3.2% pada tahun sebelumnya. 

 

Pertumbuhan itu disokong industri pembuatan dan perkhidmatan ICT dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 11.1% dan 7%.

 

"Sementara itu, Nilai Ditambah Kasar e-dagang mencatatkan RM201.1 bilion, meningkat sebanyak RM37.2 bilion pada 2021 dengan pertumbuhan 22.7%. Pertumbuhan ini disokong oleh industri pembuatan dan perkhidmatan ICT. 

 

"Dari segi sumbangan kepada KDNK, e-dagang bagi industri ICT menyumbang sebanyak 3.8% manakala e-dagang bagi industri lain adalah 9.2%," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Eksport produk ICT melonjak 14.6% berbanding 6.3% pada 2020 dengan mencatatkan nilai sebanyak RM360.8 bilion. 

 

Pengukuhan dalam eksport barangan dan perkhidmatan ICT telah mempengaruhi prestasi eksport produk ICT. Eksport produk ICT menyumbang 33.9% kepada jumlah eksport negara.

 

Import produk ICT berjumlah RM261.2 bilion, dengan peningkatan 21% dipacu oleh pertumbuhan barangan ICT sebanyak 22.6%. Import bagi produk ICT menyumbang sebanyak 27.4% kepada keseluruhan import pada 2021.

 

Guna tenaga dalam industri tersebut berjumlah 1.21 juta orang pada 2021 dengan sumbangan 8% kepada keseluruhan guna tenaga. 

 

Industri pembuatan ICT merupakan penyumbang utama dengan sumbangan 35.9% diikuti perkhidmatan (29.2%) dan perdagangan (21.9%). - DagangNews.com