Industri kelapa sawit mengalami kekurangan 2,000 tenaga kerja setiap bulan, ramal Kenanga | DagangNews Skip to main content

Industri kelapa sawit mengalami kekurangan 2,000 tenaga kerja setiap bulan, ramal Kenanga

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Kadar kekurangan tenaga buruh dalam industri kelapa sawit diramalkan bertambah sekitar 2,000 pekerja pada setiap bulan yang berlalu, menurut jangkaan Kenanga Research. 

 

Jelas penganalisisnya, Adrian Kok, hasil sesi keterlibatan dengan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) mendapati situasi kekurangan tenaga kerja semakin teruk, mencecah 75,000 pekebun berbanding 40,000 pekebun sebelum ini. 

 

Ini menyaksikan kira-kira 20% kerugian kadar hasil daripada tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Kok. 

 

“Unjuran pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun 2021 menyusut 7% daripada tahun lalu kepada 18 juta metrik tan (MT), sejajar dengan pandangan MPOA. 

 

“Sementara, MPOA berharap kerajaan akan membenarkan pengambilan sekitar 32,000 pekerja asing (pada awalnya diluluskan), untuk meredakan situasi kekurangan tenaga buruh. 

 

“Keadaan kekurangan pekerja yang mereda akan mendatangkan hasil cukai yang lebih tinggi kepada kerajaan, ekoran pengeluaran yang lebih tinggi,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Dalam sesi keterlibatan yang disertai kira-kira 20 komuniti pelabur itu, MPOA berharap struktur percukaian ke atas industri tersebut akan disemak semula. 

 

Jelas Kok, MPOA berharap agar kerajaan dapat menangani struktur cukai semasa, dengan kadar ambang yang berpotensi lebih tinggi untuk cukai durian runtuh daripada kadar ambang semasa iaitu RM2,500 setiap MT di semenanjung dan RM3,000 setiap MT di Malaysia Timur.

 

“Dalam andaian kami, tiada perubahan terhadap struktur cukai dan kadar ambang durian runtuh. 

 

“Berdasarkan analisis senario kami, setiap peningkatan 1% cukai durian runtuh dengan harga MSM bagi tahun 2021 dan 2022, masing-masing pada RM3,700 dan RM3,200 setiap MT, dijangka memberi impak kepada syarikat perladangan di bawah liputan kami sebanyak 1.3% hingga 13.1% untuk tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22 sementara, 0.3% hingga 6.1% untuk FY22 dan FY23,” tambah Kok. 

 

MPOA menjangkakan harga MSM akan terus meningkatkan bagi sepanjang tahun ini, namun tidak mendedahkan angka tertentu. 

 

Kenanga sebaliknya mengekalkan unjuran harga MSM untuk tahun 2021 hingga 2022 antara RM3,700 hingga RM3,200 setiap MT, namun tidak menolak kemungkinan unjuran itu mungkin meningkat.

 

Firma itu kekal ‘neutral’ ke atas sektor berkenaan dan cabaran seperti ketidaktentuan harga MSM serta isu berkaitan kemampanan akan terus mempengaruhi sektor perladangan. - DagangNews.com