KUALA LUMPUR 18 Sept. - Pengendali industri pelancongan Sabah bakal menerima insentif kewangan menarik di bawah Pakej Rangsangan Pelancongan Domestik yang diperkenalkan kerajaan negerinya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, insentif itu adalah khusus kepada pengendali industri pelancongan negeri yang menawarkan pakej pelancongan domestik termasuk penginapan, pengangkutan dan pelancongan.
"Insentif ini adalah usaha untuk membantu pengendali industri pelancongan negeri kerana sempadan antarabangsa masih ditutup kerana wabak COVID-19.
"Sebelum ini kami hanya fokuskan kepada pasaran antarabangsa, tetapi dengan pelancaran insentif ini kami juga akan memberi fokus kepada pihak berkepentingan di peringkat domestik agar mereka dapat menerima bantuan dari kerajaan negeri," jelasnya.
Pakej Rangsangan Pelancongan Domestik adalah satu insentif kerajaan negeri Sabah bagi membantu pengendali industri pelancongan negeri yang berdepan dengan fasa kesulitan.
Insentif tersebut dilihat mampu membantu pengendali pelancongan negeri untuk melakukan lebih banyak kegiatan yang berkaitan dengan pelancongan domestik.
Semua pengendali industri pelancongan yang berpangkalan di Sabah layak mendapat insentif RM50 bagi setiap pelancong seperti kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Tambah beliau, insentif yang digerakkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah itu turut dijayakan oleh kumpulan relevan yang akan memproses kelulusan permohonan dengan lebih pantas.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) , Datuk Tan Kok Liang berkata, pengendali pelancong boleh mendapatkan insentif berkenaan bagi tempoh perjalanan pelancong dari 17 September 2020 hingga 31 Mac 2021.
"Insentif ini hanya layak untuk pengendali pelancongan berlesen di negeri Sabah yang menjual pakej pelancongan domestik termasuk penginapan, pengangkutan dan pelancongan.
"Saya harap negeri-negeri lain di Malaysia turut membuat inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah ini bagi membantu kesulitan kewangan dalam kalangan pengendali dan ejen pelancongan," jelasnya lagi. - DagangNews.com