Industri pelancongan sumbang RM240.2 bilion kepada KDNK 2019 | DagangNews Skip to main content

Industri pelancongan sumbang RM240.2 bilion kepada KDNK 2019

Pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Industi pelancongan negara terus mengekalkan momentum perkembangan yang baik dengan sumbangan Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) sebanyak RM240.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2019.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah sumbangan pada 2019 adalah lebih tinggi berbanding RM220.4 bilion pada tahun 2018.

"NDKIP pada 2019 menyumbang 15.9% pada 2019 iaitu dengan nilai RM240.2 bilion berbanding 15.2% pada 20`18 dengan nilai RM220.4 bilion.

"Pada tahun 2019, NDKIP telah meningkat pada kadar 9.0% berbanding 9.8% pada 2018," jelasnya menerusi laporan Akaun Satelit Pelancongan 2019 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Dalam perspektif sektor perkhidmatan, industri pelancongan telah menyumbang 27.9% kepada keseluruhan sektor berkenaan pada 2019, berbanding 27.4% pada tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, sumbangan terbesar dalam industri pelancongan didominasi oleh perdagangan runcit sebanyak 46.2%.

Sumbangan tersebut diikuti oleh makanan dan minuman serta perkhidmatan khusus pelancongan negara dengan peratusan masing-masing sebanyak 18.0% dan 12.3%.

Ketiga-tiga komponen perbelanjaan pelancongan tu telah menyumbang 76.5% kepada keseluruhan NDKIP.

Tambah beliau, prestasi industri pelancongan turut dicerminkan melalui sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar Pelancongan Langsung (KDNPL) kepada KDNK yang telah meningkat kepada 6.8% pada 2019.

"Dalam tempoh sama, KDNKPL mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.9% berbanding 7.6% pada 2018.

"Prestasi KDNKPL dipacu oleh perdagangan runcit, penginapan, makanan dan minuman dengan masing-masing merekodkan sumbangan sebanyak 42.2%, 18.6% dan 11.2%," ujarnya lagi. - DagangNews.com