Industri sarung tangan getah terus dibantu | DagangNews Skip to main content

Industri sarung tangan getah terus dibantu

Sarung tangan getah

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Dalam usaha mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama produk sarung tangan getah ke peringkat global, sektor pembuatan tersebut akan terus diberi perhatian dan bantuan dengan sewajarnya oleh kerajaan.

 

Perkara itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof selepas merasmikan Fasiliti Sistemasi Pembuatan Sarung Tangan AT Glove Engineering Sdn. Bhd. di Chemor, Perak.

 

Ujarnya, ia juga sejajar dengan status Malaysia sebagai pengeluar utama produk itu dengan nilai eksport industri mencecah RM2.9 bilion pada Oktober 2021.

 

"Kita mengharapkan agar industri sarung tangan getah ini akan terus memacu ekonomi negara dan seterusnya memberi pekerjaan kepada rakyat tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing," jelasnya seperti dilapor Bernama.

 

Eksport sarung tangan getah telah menyumbang 51.1% kepada jumlah eksport negara pada Oktober lalu.

 

Jumlah tersebut meningkat berbanding 49.1% bagi bulan sama pada 2019.

 

Peningkatan tersebut didorong oleh permintaan negara luar susulan penularan wabak COVID-19.

 

Dalam nota kajian yang dikeluarkan MIDF Research baru-baru ini, sektor sarung tangan getah dilihat terus berpeluang mendominasi pertumbuhan eksport negara pada 2021.

 

Baca: Sarung tangan getah kekal pacu eksport 2021?

 

Perkara itu dinilai kepada permintaan produk sarung tangan getah yang kekal cerah pada masa akan datang.

 

Sepanjang 2020, produk berasaskan getah menjadi penyumbang peratusan tertinggi sebanyak 1.8% kepada eksport keseluruhan negara.

 

Daripada produk getah tersebut, hampir 80% jumlah eksport adalah melibatkan sarung tangan getah. - DagangNews.com