Industri vape tolak cadangan pelaksanaan Dasar Generasi Penamat ke atas produk vape | DagangNews Skip to main content

Industri vape tolak cadangan pelaksanaan Dasar Generasi Penamat ke atas produk vape

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 April - Pemain-pemain industri vape tempatan menyatakan pendirian menolak cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) mahu melaksanakan Dasar Generasi Penamat (GEG) untuk produk vape. 

 

Dalam satu kenyataan bersama pemain-pemain industri vape hari ini, industri turut memohon agar KKM mengambil tindakan untuk menarik balik sekatan dan larangan import produk vape bernikotin sedia ada untuk membolehkan produk dapat diimport secara sah dan berbayar cukai.

 

Katanya, pada minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan dan pegawai-pegawai KKM telah mengadakan suatu mesyuarat bersama wakil pemain industri tempatan untuk berbincang hala tuju kawal selia setelah cecair vape bernikotin telah dikecualikan daripada Akta Racun untuk mula dikawal selia dan dicukaikan.

 

"Dalam mesyuarat tersebut, pegawai-pegawai KKM menyatakan pendirian dan bertegas untuk melaksanakan cadangan GEG yang dicadangkan bekas menteri kesihatan sebelum ini walaupun ia telah menerima tentangan dari pelbagai pihak.

 

"Pemain industri vape telah menolak cadangan tersebut kerana ia akan memberikan kesan kepada industri dan menyatakan bahawa lebih banyak kajian perlu dibuat sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

 

Terdahulu, seramai 11 pemain industri yang menghadiri sesi libat urus bersama KKM baru-baru ini, termasuk:

  1. Presiden Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas;

  2. Pengarah Urusan NSTY Worldwide Sdn Bhd, Shariffuddin Bujang;

  3. Pengarah Urusan Vape Empire Distribution Sdn Bhd, Zachary Oh;

  4. Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli

  5. Pengarah Urusan Bangsawan Distribution Sdn Bhd, Redzuan Rahim.

  6. Presiden Persatuan Peniaga Vape Melayu Malaysia (PPVM) Mohd Sabri Ismail;

  7. Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria;

  8. Pengarah Urusan Gadget Union Distribution, James Tan;

  9. Pengarah The Vape69 Sdn Bhd, Shamsul Bahri Ismail;

  10. Pengarah Urusan VV Venture Sdn Bhd, Mohd Firdaus, dan

  11. Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Terkini Negeri Sembilan, Md Sani Md Shah.

 

Menurut kenyataan itu, ia adalah selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi soal jawab di Parlimen baru-baru ini yang mana kerajaan tidak boleh mengambil tindakan drastik pengharaman produk memandangkan ia digunakan dengan sangat meluas di negara ini dan kawal selia dengan pendekatan 'sederhana' perlu dilaksanakan.

 

Katanya, industri turut menyaran agar KKM mengambil pendekatan untuk melihat vape sebagai suatu produk yang kurang mudarat berbanding rokok untuk mengurangkan kadar perokok di negara. 

 

 

vape

 

 

"Malah, industri turut memberikan contoh langkah yang diambil di negara Britain baru-baru ini yang mana kementerian kesihatan negara tersebut telah mengumumkan seramai 1 juta perokok di Britain akan diberikan kit permulaan produk vape untuk mengalakkan mereka menukar rokok kepada vape.

 

"Pada masa yang sama, industri turut membangkitkan isu sekatan larangan import yang masih dikenakan KKM pada masa ini walaupun pengecualian vape bernikotin daripada Akta Racun dan pengenaan cukai ke atas produk vape telah dimulakan sejak 1 April 2023," katanya.

 

Baru-baru ini katanya, industri telah dimaklumkan pihak berkuasa di Jabatan Kastam Diraja Malaysia bahawa pengimportan produk vape bernikotin masih terlarang dan tidak dibenarkan KKM dan walaupun ia telah dibangkitkan kepada pihak berkenaan di KKM, perkara ini masih tidak diselesaikan.

 

Tambahnya, langkah ini adalah tidak wajar dan ia adalah bertentangan dengan pengumuman kerajaan untuk memulakan kawal selia percukaian ke atas produk vape yang telah mula sejak dua minggu lalu.

 

Industri memohon agar KKM mengambil langkah secepat mungkin untuk menarik balik sekatan tersebut selaras dengan permulaan kawal selia percukaian ke atas produk vape. - DagangNews.com