Infineon tambah pelaburan RM30.1 bilion bagi memperbesarkan fasiliti pengeluaran di Kulim | DagangNews Skip to main content

Infineon tambah pelaburan RM30.1 bilion bagi memperbesarkan fasiliti pengeluaran di Kulim

Oleh EMIR MUKMIN

KULIM 8 Ogos - Syarikat gergasi semikonduktor Jerman, Infineon Technologies AG membuat pelaburan tambahan berjumlah RM30.1 bilion (€5 bilion) bagi mewujudkan fabrikasi semikonduktor kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar dunia di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Infineon, Jochen Haneback berkata, jumlah itu merupakan tambahan kepada pelaburan bernilai RM9.7 bilion (€2 bilion) bagi fasa pertama yang dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini. 

 

Katanya, fabrikasi berkecekapan tinggi itu akan mengukuhkan lagi peranan Infineon sebagai peneraju global dalam bidang bidang semikonduktor. 

 

"Fasa pertama fabrikasi itu dengan nilai pelaburan €2 bilion akan memberi fokus kepada penghasilan semikonduktor kuasa silikon karbida yang turut merangkumi epitaksi gallium nitride (GaN). 

 

"Pelaburan €5 bilion pula, akan mewujudkan fabrikasi kuasa SiC 200 mm terbesar dunia dan paling efisien," katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan. 

 

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

 

infineon

 

 

Sebanyak 900 peluang pekerjaan telah dihasilkan menerusi kewujudan fasa pertaman projek berkenaan dan 4,000 lagi peluang pekerjaan dijangka terhasil menerusi pelaburan dalam fasa kedua. 

 

Mengulas lanjut katanya, teknologi diperkenalkan syarikat itu mampu meningkatkan tahap kecekapan tenaga untuk pelbagai aplikasi sekeliling seperti kereta elektrik, sistem kuasa angin dan solar serta pusat data kecerdasan buatan (AI).

 

"Disebabkan itulah kami melabur dalam kemudahan produksi SIC terbesar dan paling cekap di negara ini, didorong oleh komitmen pelanggan yang tinggi. 

 

"Dengan permintaaan terhadap semikonduktor meningkat secara konsisten, pelaburan di Kulim akan menjadi tarikan besar kepada pelanggan kami terutamanya dalam memulihkan rangkaian bekalan komponen kritikal kepada keperluan transisi hijau," katanya. 

 

Jochen dalam pada itu memaklumkan, projek bagi fasa pertama tersebut berjaya dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lebih awal dari yang dijadualkan 

 

"Kami memiliki visi yang jelas di Infineon iaitu memacu penyahkarbonan dan pendigitalan dan Infineon di Kulim sentiasa memainkan peranan signifikan untuk memenuhi visi tersebut," katanya. - DagangNews.com