Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kadar inflasi dijangka kekal mengalami penguncupan 1% tahun ini, setelah indeks harga pengguna (IHP) jatuh pada Oktober untuk bulan ke-8 berturut-turut.
Malah, penganalisis juga tidak menjangkakan sebarang pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) yang akan dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat dasar monetari pada 20 Januari 2021.
Kadar itu diunjur kekal pada kadar semasa, 1.75% setelah mengalami pengurangan sehingga 125 mata asas tahun ini.
Penganalisis CGS-CIMB, Michelle Chia berkata, bagaimanapun tekanan deflasi kemungkinan berterusan sehingga November.
"Apabila ringgit mengukuh berbanding dolar AS, ia membantu mengurangkan harga minyak lebih tinggi, dengan harganya menurun antara 2.5 hingga 2.9% setakat ini manakala harga runcit bagi diesel hanya naik 1%.
"Kami menjangkakan pemulihan inflasi utama dari -1.1% pada 2020 kepada 1.6% tahun ke tahun pada 2021, di tengah-tengah penurunan kesan asas harga minyak," katanya dalam nota kajian.
Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur kadar inflasi menguncup 1.5% kepada 120.2 pada Oktober 2020 berbanding 122.0 yang dicatatkan pada Oktober 2019.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan hari ini menunjukkan ia meningkat 0.1% berbanding September 2020 berikutan peningkatan dalam Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.1%), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.1%) dan Kesihatan (0.1%).
Secara keseluruhan, penurunan IHP pada Oktober 2020 dipengaruhi oleh penurunan indeks Pengangkutan (-10.2%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.0%) dan Pakaian & Kasut (-0.4%) yang menyumbang 41.6% daripada keseluruhan wajaran.
Sementara itu, penganalisis UOB Malaysia, Julia Goh berkata, apabila memasuki tahun hadapan, inflasi utama dijangka kembali menyederhana memandangkan ekonomi yang kian pulih.
Menurutnya, harga komoditi diunjur meningkat sejajar dengan pemulihan permintaan tetapi masih kekal di bawah paras prapendemik.
"Permintaan dan sentimen pengguna kembali perlahan berikutan lonjakan kes jangkitan COVID-19, yang menekan jangkaan inflasi.
"Untuk itu, kami mengekalkan jangkaan inflasi tahun ini, -1% dan 2.1% pada 2021," katanya.
Namun, katanya, walaupun BNM dijangka mengekalkan kadar faedah tetapi masih wujud risiko utama terhadap prospek kadar faedah yang stabil.
"Ini termasuklah jika pemacu pertumbuhan tidak memenuhi jangkaan termasuk pertumbuhan global, perbelanjaan kerajaan untuk pelaburan dan juga bergantung kepada sejauh mana pandemik ini dan keberkesanan vaksin COVID-19," katanya. - DagangNews.com