Inflasi bulanan Malaysia diunjur berada di bawah paras 3% untuk 2023 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Inflasi bulanan Malaysia diunjur berada di bawah paras 3% untuk 2023 - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran inflasi Malaysia kekal pada paras 3% dan kadar bulanan berada di bawah 3% untuk baki tahun ini.

 

Bagaimanapun, risiko inflasi kekal tidak stabil dengan subsidi dan kawalan harga.

 

"Kerajaan telah mula melaksanakan subsidi bersasar, bermula dengan tenaga elektrik pada awal tahun ini dengan subsidi hanya diberikan kepada pengguna domestik (isi rumah) dan pengguna voltan rendah berbanding pengguna bukan domestik (industri, komersial) dan pengguna voltan sederhana/tinggi.

 

"Kemudian ia diikuti dengan pengecualian isi rumah berpendapatan tinggi daripada subsidi elektrik pada permulaan separuh kedua 2023 iaitu mereka yang mempunyai penggunaan elektrik bulanan melebihi 1,500kWj.

 

"Seterusnya ialah pelaksanaan subsidi bahan api yang disasarkan, berpotensi tahun depan yang akan turut menamatkan "faedah" kepada isi rumah berpendapatan tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Inflasi utama Malaysia meneruskan aliran menurunnya, berkurangan kepada 2.4% pada Jun 2023.

 

BACA JUGA: Kadar inflasi Malaysia menurun kepada 2.4% pada Jun 2023 - DOSM

 

Inflasi teras (tidak termasuk item yang tidak menentu dan harga terkawal) juga berkurangan kepada 3.1% pada Jun 2023. 

 

Berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 hinga 6 Julai 2023 untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3%.

 

Firma itu menjangkakan OPR akan kekal pada tahap "sedikit akomodatif" ini pada separuh kedua tahun ini  dengan jangkaan kesederhanaan berterusan dalam inflasi.- DagangNews.com