Inflasi Malaysia diunjur berada pada paras 3% untuk tahun ini - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Inflasi Malaysia diunjur berada pada paras 3% untuk tahun ini - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - MIDF Research mengekalkan inflasi Malaysia pada paras 3% untuk 2023.

 

Firma itu berkata, untuk enam bulan tahun ini, purata inflasi makanan berada pada paras 6.2% jauh lebih tinggi daripada tahun sebelumnya iaitu 5.7%.

 

Firma itu menjangkakan inflasi makanan akan berada pada aliran rendah pada 5% untuk tahun ini, berasaskan kepada pengurangan tekanan rantaian bekalan global, harga komoditi yang normal dan peningkatan dolar Amerika Syarikat/Ringgit Malaysia.

 

"Bagaimanapun, perkembangan pasaran baru-baru ini terutamanya pengetatan dasar monetari oleh ekonomi utama secara tidak langsung telah melambatkan kenaikan ringgit.

 

"Selepas itu, penyusutan nilai ringgit yang berpanjangan antara lain akan membawa kepada inflasi import yang lebih tinggi terutamanya melalui harga makanan memandangkan Malaysia merupakan pengimport bersih bagi kebanyakan produk makanan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Inflasi utama Malaysia meneruskan aliran menurunnya, berkurangan kepada 2.4% pada Jun 2023.

 

BACA JUGA: Kadar inflasi Malaysia menurun kepada 2.4% pada Jun 2023 - DOSM

 

Inflasi teras (tidak termasuk item yang tidak menentu dan harga terkawal) juga berkurangan kepada 3.1% pada Jun 2023. 

 

Firma itu berkata, bagi inflasi bukan makanan, mereka menjangkakan kerajaan akan mengekalkan harga runcit bahan api status quo sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

 

Inflasi bukan makanan dijangka berada pada purata 1.5%. - DagangNews.com