Pelabur asing beli RM1.06 bilion ekuiti tempatan, peningkatan 3.6 kali ganda berbanding minggu lalu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM1.06 bilion ekuiti tempatan, peningkatan 3.6 kali ganda berbanding minggu lalu - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Pelabur asing menunjukkan aktiviti belian bersih kukuh dengan aliran bersih melonjak kepada RM1.06 bilion bagi minggu berakhir 3 Mei 2024, peningkatan 3.6 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, ia menandakan jumlah belian bersih mingguan yang paling kukuh dalam dua tahun dengan paras aliran masuk hampir menyamai minggu berakhir 18 Mac 2022 iaitu sebanyak RM1.18 bilion.

 

Sepanjang minggu itu, pelabur asing mengekalkan trend belian bersih yang konsisten.

 

Katanya, pelabur asing membeli ekuiti tempatan sebanyak RM451.8 juta pada Isnin, RM184.3 juta pada Selasa, RM43 juta pada Khamis dan RM376.1 juta pada Jumaat.

 

"Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM443.7 juta), perkhidmatan kewangan (RM277.3 juta), dan telekomunikasi & media (RM140.4 juta), manakala sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah tenaga (RM22.4 juta), perladangan (RM16.9 juta), dan hartanah (RM10.4 juta)," kata firma penyelidikan itu dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.

 

Sementara itu, institusi tempatan menjual ekuiti sebanyak RM943.1 juta pada minggu lalu selepas menjadi pembeli bersih selama sembilan minggu berturut-turut. Mereka menjadi penjual bersih setiap hari pada minggu lalu.

 

Peruncit tempatan mengekalkan rekod jualan bersih untuk minggu kelapan berturut-turut, berjumlah RM112.2 juta.

 

Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan dalam kalangan semua kelas pelabur.

 

Pelabur asing mendahului dengan peningkatan sebanyak 22% manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan menyaksikan lonjakan masing-masing 16.7% dan 6.7%. - DagangNews.com