KUALA LUMPUR 17 Mei - Inflasi Malaysia telah meningkat kepada 3.3% pada 2022 berbanding 2.5% pada 2021 dengan mencatatkan mata indeks 127.2 berbanding 123.1 pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Peningkatan ini terutamanya didorong oleh makanan dan minuman (5.8%), restoran dan hotel (5%), pengangkutan (4.7%) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.5%).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi 2022 juga seiring dengan kenaikan harga majoriti komoditi, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS$) berbanding mata wang utama dan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine.
“Kenaikan ketara direkodkan oleh semua subkumpulan makanan dan minuman dan mencatatkan kenaikan antara 2.9% hingga 8.6%.
Selain itu, kejadian seperti banjir dan tanah runtuh juga telah menyebabkan gangguan dalam bekalan produk pertanian, menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga," katanya dalam satu kenyataan susulan penerbitan Analisis Indeks Harga Pengguna Tahunan (IHP) 2022 hari ini.
Mohd Uzir Mahidin berkata pembukaan semula sektor pelancongan pada April 2022 kepada pelancong antarabangsa dari negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand telah meningkatkan inflasi restoran dan hotel sebanyak 5% pada 2022 berbanding 0.4% pada 2021.
Tambahnya, kadar inflasi tertinggi adalah pada Ogos 2022 sebanyak 4.7% disebabkan kesan asas yang lebih rendah pada 2021 berikutan diskaun bil elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (PEMULIH) dari Julai hingga September 2021.
Selain itu, beliau berkata inflasi 2022 turut didorong oleh perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.3%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.8%).
“Walaupun terdapat peningkatan dalam majoriti item dalam bakul IHP, terdapat 17% item yang mencatatkan penurunan dan kekal tidak berubah dan secara tidak langsung meredakan inflasi.
“Antara barangan yang menunjukkan penurunan harga adalah halia (15.7%), rambutan (3.9%) dan tali pinggang (3.6%), manakala tambang Light Rapid Transit (LRT), caj pembetungan dan majalah kekal tidak berubah,” ujar beliau.
Sementara itu, inflasi bagi pengangkutan menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan iaitu 4.7% pada 2022 berbanding 11% pada 2021 disebabkan subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian menyederhana kepada 5.8% berbanding 14.1% pada 2021.
Mohd Uzir berkata peningkatan perlahan itu disebabkan kesan asas rendah tamat berikutan penetapan harga siling petrol tanpa plumbum RON95 kepada RM2.05 seliter pada Mac 2021, di mana purata harga petrol tanpa plumbum RON95 pada 2022 meningkat sebanyak 1.1 % (RM2.05) tahun ke tahun berbanding 21.2 % (RM2.03) pada 2021.
Di samping itu, inflasi tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol RON95, RON97 dan Diesel telah meningkat 3.2% pada 2022 berbanding 1.2% pada tahun sebelumnya.
“Inflasi teras merangkumi semua barangan dan perkhidmatan yang tidak termasuk makanan segar dengan harga yang tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan yang dikawal harga. Inflasi teras menunjukkan peningkatan kepada 3% berbanding 0.7% pada tahun sebelumnya,” katanya.
Mengulas mengenai inflasi di peringkat negeri pula, beliau menjelaskan semua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi di mana tiga negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 3.3% pada 2022.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.3%), Selangor (4.2%) dan Johor (3.4%) manakala peningkatan terendah adalah di Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 2.4%.
Bagi inflasi makanan dan minuman, Putrajaya mencatatkan kenaikan tertinggi 7.7% diikuti Selangor (7.4%), Johor (6.1%) dan Pulau Pinang (6%), sementara negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan makanan dan minuman nasional iaitu 5.8% pada 2022.
Mohd Uzir berkata peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga ayam, telur dan minyak pada 2022 disebabkan oleh tekanan geopolitik antara Russia dan Ukraine yang merupakan antara pengeksport bahan mentah bagi produk makanan di Malaysia seperti baja dan tepung gandum. -DagangNews.com