Infoline Tec buat penampilan sulung di Pasaran ACE dengan nilai 33 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Infoline Tec buat penampilan sulung di Pasaran ACE dengan nilai 33 sen sesaham

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Infoline Tec Group Berhad membuat penampilan pertamanya di Pasaran ACE, Bursa Malaysia dengan harga 33 sen sesaham, premium 1 sen atau 3.13% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Sejumlah 16.08 juta saham bertukar tangan menjadikannya kaunter paling aktif didagangkan bagi pasaran Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Infoline Tec, Choo Wei Chuen berkata, kumpulan itu bersedia untuk mengukuhkan kehadiran di pasaran operasi utamanya di Malaysia dan China serta negara lain di Asia Pasifik.

 

"Dunia bergerak ke arah digital, penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), data besar, pengkomputeran awan, Internet kebendaan (IoT) dan pengkomputeran sosial akan mendapat tarikan utama.

 

"Kerajaan dan perniagaan menyedari bahawa infrastruktur IT dan penyelesaian keselamatan siber adalah pelengkap dan kritikal dalam menyokong sambungan berkelajuan tinggi serta dalam melindungi data dan rangkaian daripada serangan keselamatan siber," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Infoline Tec mengumpul sejumlah RM23.68 juta daripada terbitan IPO dengan RM17.46 juta akan digunakan untuk meningkatkan pusat operasi rangkaian sedia ada kumpulan dan untuk menubuhkan pusat operasi keselamatan, pusat teknologi dan pusat pemulihan bencana.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan kemudahan dan keupayaannya akan membolehkannya meningkatkan pangkalan pelanggannya dan menawarkan rangkaian perkhidmatan yang diperluaskan.

 

Sejumlah RM2.22 juta lagi akan digunakan untuk aktiviti pengembangan perniagaan untuk meningkatkan kehadiran kumpulan di Malaysia dan di China.

 

Baki RM4 juta hasil IPO akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

 


Dalam keputusan yang diumumkan baru-baru ini bagi suku berakhir 31 Mac 2022, Infoline Tec mencatatkan hasil sebanyak RM8.86 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.32 juta. - DagangNews.com