Ingenieur Gudang cadang beli Kompleks Beli-belah Pandan Safari Lagoon bernilai RM11.27 juta | DagangNews Skip to main content

Ingenieur Gudang cadang beli Kompleks Beli-belah Pandan Safari Lagoon bernilai RM11.27 juta

oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Ingenieur Gudang Bhd membeli Kompleks Beli-belah Pandan Safari Lagoon dan Taman Tema Air di Pandan Perdana yang bernilai RM11.27 juta.

 

Kumpulan pembinaan itu berkata, ia sedang membeli Deluxe Mission Sdn Bhd yang telah memperoleh kepentingan di dalam 164 unit lot runcit di kompleks komersial tersebut daripada pemilik tunggalnya, Soon Boon Fei, pada harga RM8 juta.

 

Deluxe Mission berhasrat untuk menggunakan semula dan memajak lot runcit tersebut kepada bakal usahawan e-dagang, katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

“Kumpulan itu yakin hartanah itu akan memenuhi keperluan bakal usahawan e-dagang yang mempunyai pengaruh di dalam talian dan mempunyai kedai fizikal untuk mewujudkan kesedaran produk dan perkhidmatan di dalam talian.

 

"Ini membolehkan bakal pelanggan menyelidik dan melawat kedai fizikal untuk membuat pembelian atau pengambilan barang yang dibeli dalam talian,” kata Ingenieur.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ingenieur Gudang ambil alih Pandan Safari berharga RM907 juta untuk diguna semula sebagai ruang simpanan

 

Ia menambah, kos hartanah kosong itu ialah RM11.27 juta manakala nilai pasaran ialah RM30 juta. – DagangNews.com