Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Nov - MIDF Research kurang optimis dengan inisiatif bank digital, Rangkaian Bersepadu Dimensi Digital Lanjutan Pertama AFFIN (A1addin) yang diperkenalkan Affin Bank Bhd.
Ini berdasarkan kepada beberapa faktor, antaranya, inisiatif bank digital itu dilihat hanya terhad kepada golongan muda dan pengguna yang celik teknologi dan juga persaingan daripada aplikasi teknologi kewangan (fintech) lain yang lebih mantap dengan pelaburan berasaskan pengguna.
"Selain itu, kami juga mendapati, ia menerima persaingan dengan bank digital lain pada masa hadapan dan kerangka pelesenan yang ketat dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Dalam hal ini, kami percaya kadar deposit tetap yang tinggi akan menjadi faktor tarikan utama," katanya dalam nota kajian hari ini.
Malah, firma penyelidikan itu juga berpendapat inisiatif tersebut akan mengambil masa yang lama sebelum A1addin mampu memberi impak ketara kepada kedudukan kewangan Affin Bank.
Semalam, Affin Bank memberitahu berkonsepkan 'Sentuhan Keajaiban', A1addin direka untuk memberikan pelanggan pelbagai manfaat perbankan termasuklah tanpa caj yuran tahunan bagi perkhidmatan, pilihan antara perbankan Konvensional atau Islam dan kadar e-FD (e-Deposit Tetap) yang menarik.
Dengan platform e-KYC (Know Your Customer) A1addin, proses pembukaan dan kelulusan akaun bank pelanggan akan dilakukan sepenuhnya atas talian.
Pelanggan A1addin juga akan dapat menggunakan perkhidmatan pemindahan dana melalui QR Pay dan DuitNow serta boleh menyimpan sehingga 99 pemindahan kegemaran dan pengebil JomPay.
Selain A1addin, Affin Bank turut melancarkan pelbagai produk dan inisiatif perbankan digital sejak beberapa bulan lalu, termasuklah pembukaan 4 cawangan baharu yang kini ditangguhkan kepada Januari 2022 di Putrajaya, Desa Park City, Balakong dan KotaSAS (Kuantan).
Di samping itu, beberapa produk dan perkhidmatan diperkenalkan antaranya, kad kredit BHP, kad pelbagai mata wang dan Affin Invikta (menyasarkan segmen kekayaan).
MIDF Research melihat keseluruhan prospek kumpulan perbankan ini masih dalam kedudukan yang kukuh dan optimis perubahan semasa akan merapatkan jurang pelaburan ke atas ekuiti (ROE).
Bagaimanapun, katanya, ketidaktentuan kos kredit, lapora negatif terhadap pinjaman pendidikan, Cukai Makmur dan ROE yang lemah akan merosakkkan sebarang penilaian semula yang positif.
"Kami jangkakan pelaksanaan Cukai Makmur akan memberi kesan sekitar RM50 hingga RM60 juta bagi tahun kewangan 2022 yang mana ia menjejaskan 5% ke atas keuntungan bersih kumpulan," jelasnya.
Mengambil kira semua faktor, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Affin Bank dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.57. - DagangNews.com