Inisiatif ESG Yinson terima pengiktirafan di Anugerah SBA | DagangNews Skip to main content

Inisiatif ESG Yinson terima pengiktirafan di Anugerah SBA

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Inisiatif tanggungjawab sosial korporat serta persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) Yinson Holdings Berhad telah menerima pengiktirafan di Anugerah Perniagaan Lestari (SBA) Malaysia 2020/21.

 

Ini selepas kumpulan berjaya merangkul pulang Anugerah Pencapaian Penting (Significant Achievement Award) di bawah kategori Komuniti, baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Yinson, Daniel Bong berkata, anugerah itu mencerminkan usaha kumpulan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Matlamat Iklim Yinson untuk mencapai neutral karbon menjelang 2030 dan sifar bersih pada 2050.

 

Daniel Bong
Daniel Bong

 

“Sebagai sebuah penyedia penyelesaian tenaga global, di mana operasinya memberi impak kepada komuniti di seluruh dunia, kami komited untuk menyumbangkan kembali kepada komuniti dan menerajui amalan kelestarian dalam kalangan pihak berkepentingan kami ke arah masa hadapan yang lebih mampan untuk semua orang.

 

“Kami telah menumpukan sumber daya yang besar untuk meningkatkan prestasi mampan kami, seperti menyelaraskan sistem pengurusan anti-rasuah dan pendedahan korporat dengan standard global. Kami berbesar hati kerana usaha ini diiktiraf dalam anugerah SBA tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Anugerah itu telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu majlis maya pada 21 September lalu.

 

Pihak penganjur memuji usaha komuniti Yinson yang menumpukan kepada kualiti pendidikan dan tindak balas COVID-19 yang kukuh.

 

Kriteria penjurian adalah berdasarkan kerangka skor yang dibangunkan oleh pasukan Inisiatif Global dengan kerjasama PwC Malaysia.

 

Senarai pemenang telah dimuktamadkan oleh Panel Penasihat Kebangsaan yang terdiri daripada pakar dan peneraju kelestarian daripada kumpulan pihak berkepentingan berbeza seperti kerajaan, ahli akademik dan pertumbuhan bukan kerajaan (NGO).

 

Tahun ini merupakan penganjuran SBA untuk edisi ketiga dan merupakan satu-satunya siri anugerah di Asia yang dikhususkan kepada aspek kelestarian, di mana ia menilai program kelestarian korporat secara komprehensif. - DagangNews.com