JOHOR BAHRU 4 April – Legoland Malaysia melancarkan Inisiatif Pendidikan Planet Legoland yang akan memacu beberapa siri aktiviti yang menggalakkan lawatan lapangan pendidikan dan lawatan sekolah ke Legoland Malaysia dan Johor.
Legoland Malaysia akan mengumumkan Cabaran Sekolah Planet Legoland, di mana pelajar sekolah boleh melepaskan imaginasi mereka dan melibatkan diri dalam pengalaman binaan interaktif.
Melalui cabaran ini, para peserta boleh membiarkan kreativiti mereka memimpin dan membina dunia impian mereka dengan Lego. Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, pelajar yang menyertai Cabaran Sekolah Planet Legoland boleh mendapat markah penyertaan di dalam aktiviti kokurikulum mereka.
Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara JP berkata, dengan usaha bersama institusi kerajaan dan swasta seperti Legoland Malaysia Resort, kerajaan berharap dapat menggiatkan semula aktiviti pelancongan di Malaysia dan seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang lebih pantas.
''Kami telah mengenal pasti lokasi strategik di seluruh Malaysia untuk mencari peluang membantu mereka memacu lawatan, memanfaatkan destinasi dan komuniti di sekeliling mereka seperti Legoland Malaysia Resort,” katanya.
Perkongsian itu akan menarik penglibatan dan sokongan aktif di seluruh jabatan kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Pelancongan Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Iskandar Puteri.
“Dengan usaha berterusan kami untuk mengukuhkan dan membangunkan destinasi tempatan, kami sedang menyemarakkan negara untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa apabila sempadan dibuka semula pada 1 April dan membuktikan masa depan industri dengan membina daya tahan,” tambah Dr. Santhara.
Sementara itu, Pengarah Bahagian di LEGOLAND, CS Lim berkata, selain menggiatkan semula edu-pelancongan di Johor dan mengalukan kedatangan tetamu antarabangsa, Legoland Malaysia komited untuk menyokong usaha Kementerian Pendidikan menghidupkan semula pembelajaran merentas kurikulum dalam kalangan murid sekolah.
Selepas dua tahun berada dalam persekitaran pembelajaran terhad, keperluan untuk bilik darjah luar adalah lebih besar berbanding sebelum ini. Kami mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian untuk membantu kanak-kanak mengekspresikan kreativiti mereka, menguasai kemahiran baharu dan mengembangkan keupayaan pembelajaran mereka,” katanya.
“Pendidikan adalah teras kepada apa yang kami lakukan di sini, disokong oleh DNA Lego® kami untuk membina kreativiti melalui permainan.
''Pelancaran Inisiatif Pendidikan Planet Legoland menandakan komitmen kami untuk menawarkan pusat pembelajaran teguh yang merangsang rasa ingin tahu anak-anak kami, dengan program yang disahkan oleh KPM seperti Program Pendidikan Sea Life Malaysia dan English Mania,” ujar CS. - DagangNews.com