Inix nafi terbabit dalam skandal pelaburan saham | DagangNews Skip to main content

Inix nafi terbabit dalam skandal pelaburan saham

 

KUALA LUMPUR 1 April – Inix Technologies Holdings Bhd menafikan sebarang penglibatan di dalam skandal pelaburan saham yang dilaporkan oleh akhbar The New Straits Times bertaujuk “34 govt personnel, cops suspected to be in cahoots with Datuk Seri Nicky.”

 

Artikel tersebut melaporkan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai berkata, “Broken Tooth” (Wan Kuok Koi) juga terlibat di dalam Inix Technologies yang terbabit di dalam skandal pelaburan saham.”

 

Lembaga Pengarah dan Pengurusan Inix menjelaskan syarikat itu tidak terlibat di dalam apa-apa skandal pelaburan saham dan bekas pengerusi, Wan Kuok Koi tidak memiliki sebarang saham di dalam Inix sepanjang perkhidmatan dan selepas tempohnya tamat pada 23 Mac lalu.

 

"Pelantikan Wan hanyalah untuk meraih manfaat daripada kepakaran dan pengalamannya sebagai ahli perniagaan terkemuka di Macao, seperti yang dicatatkan di dalam laporan kepada Bursa Malaysia pada 11 Ogos 2020.

 

"Tempoh khidmat Wan sebagai Pengerusi Inix hanya kira-kira lima bukan setelah beliau meletak jawatan pada 2 Disember 2020, untuk menguruskan kepentingan perniagaan lainnya," kata Inix dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pada masa ini, Inix diuruskan oleh pasukan profesional dan Lembaga Pengarah berpengalaman yang memiliki rangkaian korporat yang luas dan pengalaman korporat bertahun-tahun lamanya menguruskan syarikat tersenarai.

 

Inix ketika ini diuruskan oleh dua pengarah eksekutif, Siva Kumar Kalugasalam and Datuk Zhang Li.

 

"Kumpulan syarikat ini ingin menjelaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pengurus menganggap sebarang cubaan memanipulasi pasaran saham atau terlibat di dalam skandal pelaburan saham sebagai kesalahan serius. Jika terdapat pelanggaran sedemikian dalam kalangan pengurusan, ahli lembaga pengarah atau kakitangan, siasatan menyeluruh dan tindakan serius akan diambil.

 

"Di sebalik khabar angin berterusan terhadap pengurusan Kumpulan, Inix kekal komited kepada perniagaan membuat sarung tangan getah. Permintaan teguh ke atas sarung tangan walaupun sudah ada vaksin di seluruh dunia dijangka menyokong pertumbuhan industri itu. Pada akhir tahun lalu, penerokaan perniagaan Kumpulan berlangsung menerusi pengambilalihan 51% kepentingan di dalam syarikat pengeluar sarung tangan getah, L&S Gloves Sdn Bhd.," kata syarikat itu. - DagangNews.com