Inovasi nanas MD2 buka peluang baharu dalam bidang keusahawanan pertanian - UPM | DagangNews Skip to main content

Inovasi nanas MD2 buka peluang baharu dalam bidang keusahawanan pertanian - UPM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Inovasi nanas madu atau MD2 membuktikan perusahaan buah itu sememangnya membuka pelbagai peluang baharu bidang keusahawanan dalam dunia pertanian sekiranya produk nanas dimanfaatkan semaksimum mungkin. 

 

Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, benang tekstil berkualiti tinggi juga mampu dihasilkan melalui serat nanas sekali gus memberi pulangan berganda buat pengusaha nanas selain pasaran buahnya yang berkhasiat dan bermutu tinggi. 

 

"Daripada serat daun nanas juga boleh terhasilnya sehelai kertas dan menjadi sebuah buku catatan serta penghasilan pelbagai bekas atau kotak cenderamata yang bermutu tinggi," katanya dalam kenyataan menerusi halaman Facebook universiti itu di sini.

 

Menurut UPM, nanas MD2 kini semakin popular dan mendapat permintaan di pasaran kerana memberikan rasa manis dan keenakan yang unik kepada si pemakan. 

 

Katanya, varian itu memberikan kelazatan istimewa yang tidak memberikan rasa lidas (rasa pedih atau gatal pada lidah) dan empulur yang lembut berbeza dengan nanas yang lain. 

 

"Baru-baru ini pasaran nanas MD2 di Malaysia telah diperluaskan menembusi Osaka sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah eksport negara bahkan membantu pemain industri negara dalam menambah pendapatan," katanya.

 

Sehingga kini hampir 20 negara mengimport produk nanas antaranya Singapura, Mesir, China dan Jepun mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM). 

 

 

UPM

 

 

Penolong Pegawai Pertanian, Unit Tanaman Nanas Pusat Pertanian Putra (PPP) UPM, Mohamad Imran Omar berkata, terdapat 16 jenis varieti nanas di Malaysia namun pasaran MD2 mendapat sambutan menggalakkan dek permintaan tinggi peminatnya. 

 

Katanya, pasaran nanas jenis ini di Malaysia mendapat sambuta tinggi selepas sawit dan durian kerana penggunaan buah nanas yang pelbagai dalam negara bukan sekadar segar dimakan namun mendapat permintaan dalam penghasilan jus, sambal nanas, jem, kuih, salad buahan, sabun dan sebagainya.  

 

 

upm

 

 

Tambahnya lagi, MD2 merupakan buah premium kerana isinya yang sedap akan memberikan rasa ketagihan selain kulitnya yang nipis dan boleh mencecah sehingga empat kilogram (kg) sebiji. 

 

 

upm

 

 

"Selain menjadi salah satu sumber kekayaan baharu negara dalam sektor pertanian, tanaman nanas ini mudah untuk dijaga kepada pengusaha kerana ia tidak memerlukan siraman air yang banyak dan hanya perlu memastikan sistem perparitan yang baik bagi mengelakkan takungan air.

 

 

upm

 

 

"Tanaman ini juga tidak memerlukan sistem penggiliran tanaman melainkan pokok tersebut telah diserang penyakit seperti 'Reput Teras Bakteria' yang sedikit menganggu industri nanas Malaysia," katanya. - DagangNews.com