Inovasi rangsang daya tahan perniagaan & ekonomi -Microsoft | DagangNews Skip to main content

Inovasi rangsang daya tahan perniagaan & ekonomi -Microsoft

Kakitangan di TNB, menunjukkan penggunaan aplikasi myTNB kepada pelanggan.

Kakitangan di TNB, menunjukkan penggunaan aplikasi myTNB kepada pelanggan.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Kira-kira 77% daripada pucuk pimpinan perniagaan di negara ini berpendapat bahawa inovasi adalah satu kewajipan sebagai tindak balas kepada cabaran dan peluang pasaran bagi mendepani persekitaran perniagaan yang mencabar.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, hasil kajian menunjukkan sentimen kesukaran untuk melakukan inovasi dalam kalangan organisasi Malaysia juga mula menurun kepada 35% berbanding 76% pada tempoh sebelum COVID-19.

“Inovasi bukan lagi satu pilihan, tetapi kini menjadi satu keperluan. Malah organisasi di Malaysia sedar bahawa keupayaan mereka mempelopori inovasi mampu memacu prestasi dan daya tahan perniagaan mereka semasa krisis. 

"Ini kerana apabila organisasi terpaksa mempercepatkan inovasi semasa pandemik tersebut, mereka telah mendapati ianya tidak sesukar seperti yang dijangkakan. Berbekalkan keyakinan baharu ini, firma di Malaysia telah menerapkan budaya inovasi dengan lebih rancak untuk menjamin kesinambungan dan kemampanan perniagaan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

K Raman
K Raman 

 

Dapatan berkenaan didedahkan menerusi dapatan kajian yang bertajuk “Budaya Inovasi: Asas bagi membina daya tahan perniagaan dan memulihkan ekonomi di Asia Pasifik”.

Kajian yang dijalankan oleh Microsoft bersama IDC Asia Pacific itu yang melibatkan seramai 223 pemimpin industri di Malaysia dalam tempoh 6 bulan, sebelum dan sejak COVID-19. 

Kajian di Malaysia itu juga adalah sebahagian daripada tinjau selidik lebih luas dalam kalangan 3,312 pemimpin perniagaan dan 3,495 pekerja di 15 pasaran di Asia Pasifik yang dikendalikan dalam tempoh yang sama, untuk menentukan bagaimana organisasi boleh meningkatkan daya tahan dan prestasi perniagaan menerusi inovasi. 

Kajian juga mendedahkan hampir lapan daripada 10 organisasi Malaysia (77%) giat mempercepatkan proses pendigitalan dalam pelbagai cara untuk bersesuaian dengan realiti baharu.

Proses berkenaan termasuk melancarkan produk digital, pembayaran digital serta inisiatif e-dagang dan automasi. 

Di samping itu, hampir 28% daripada organisasi Malaysia percaya model perniagaan semasa tidak akan kekal kompetitif dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Pecutan Pertumbuhan Global, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Gopi Ganesalingam memberitahu, tidak akan ada organisasi yang akan mampu mengekalkan kelebihan daya sing sekiranya tidak diterapkan dengan strategi perniagaan masing-masing.

 

Gopi Ganesalingam
Gopi Ganesalingam 

 

"Sesungguhnya MDEC ialah penyokong tegar inovasi menerusi Program Kerjasama Korporat, yang telah membolehkan pelbagai organisasi mempelopori inovasi dengan mengguna pakai penyelesaian teknologi serba baharu. 

"Jalinan kerjasama baharu ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan syarikat korporat tetapi juga mempercepatkan agenda digital negara dan menyokong usaha Malaysia untuk menerajui kemajuan Digital ASEAN,” jelasnya.

 

 


Peningkatan pengalaman pelanggan menerusi inovasi

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah syarikat utiliti elektrik terbesar Malaysia yang mengutamakan inovasi di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya komited untuk memberi pengalaman terbaik kepada pelanggan menerusi inovasi dalam penyelesaian TNB.

"Di kemuncak PKP, kira-kira 75% kakitangan bekerja dari rumah walaupun dengan pemberitahuan singkat dan kami terus memastikan bekalan elektrik kekal disalurkan kepada 9.25 juta pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia. 

 

Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan 

 

"Kami menggalakkan pelanggan kami untuk menggunakan aplikasi myTNB, yang sudah sedia untuk menghadapi keadaan di mana pelanggan tidak boleh mengunjungi Kedai Tenaga bagi menguruskan akaun elektrik mereka, dan kami juga dapat menampung ledakan penggunaan aplikasi berkenaan secara tiba-tiba.

“Ini adalah sejajar dengan aspirasi kami untuk memupuk budaya inovasi dalam kalangan 36,000 kakitangan kami, yang memberi tumpuan untuk merealisasikan matlamat TNB menjadi pembekal penyelesaian tenaga mampan yang terulung di Malaysia dan di peringkat antarabangsa," tambah beliau.

 

 

 

Pemerkasaan modal insan untuk mengukuhkan budaya inovasi


Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, transformasi digital (DT) yang sedang dilaksanakan pihaknya bertumpukan kepada modal insan.

 

Azman Ismail
Azman Ismail 

 

Jelasnya, perubahan berkenaan bertumpukan Warga PLUS yang telah menerap dan mengubah cara kerja menerusi penggunaan teknologi yang lebih tinggi khususnya Pendigitan (Bakal Menjadi Digital) dan Pendigitalan (Sedia Digital).

"Kami beransur-ansur dan bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai inisiatif DT dalaman untuk meningkatkan kecekapan kerja dan inisiatif DT luaran bagi menambah baik pengalaman dan kepuasan pelanggan," ujar beliau. - DagangNews.com