Inovasi Skypatcher UPM rangkul anugerah khas, pingat emas SIIC 2023 | DagangNews Skip to main content

Inovasi Skypatcher UPM rangkul anugerah khas, pingat emas SIIC 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Inovasi Skypatcher Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkul anugerah khas utama 'Diamond Award' bagi kategori profesional dalam pertandingan STEM Invention & Innovation Competition (SIIC 2023) yang berlangsung secara dalam talian, baru-baru ini.

 

Inovasi Skypatcher turut meraih pingat emas dan menerima Anugerah Khas Top 5 Award (Online - Profesional) bagi kategori sama pada pengumuman yang disiarkan dalam talian pada 7 Disember lepas.

 

SIIC 2023 telah dipertandingkan mengikut empat kategori utama iaitu Teknokrat Cilik, Teknokrat Muda, Siswa dan Profesional.

 

Projek Skypatcher yang diketuai Asrizam Esam dari Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Langit Putra daripada Putra Science Park, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM adalah inovasi alat penampal poster di reruai pameran yang dapat digunakan bagi mempercepatkan proses penampalan dan meningkatkan keselamatan pempamer.

 

Pempamer yang perlu menampal poster pada reruai pameran standard shell scheme yang kebiasaannya digunakan bagi pameran seperti di KLCC, MITEC, WTC berisiko untuk terjatuh dan mengambil masa yang lama bagi kerja penampalan.

 

Kerja penampalan yang dianggap remeh tetapi rumit untuk dilaksanakan dan berisiko terjatuh, terpaksa dihadapi pempamer yang terlibat sama ada dalam kalangan profesional daripada industri, agensi kerajaan, universiti mahupun pelajar sekolah yang semakin ramai terlibat di dalam pameran.

 

Skypatcher yang mampu menampal poster sepantas 11 saat adalah cetusan idea berdasarkan kesukaran yang dihadapi selama ini disebabkan tiada alat bantu di pasaran bagi membantu menampal poster pertandingan di reruai pameran. 

 

 

upm

 

 

Lazimnya, kaedah menampal poster pada ketinggian ini memerlukan alat bantu seperti tangga bagi membantu memudahkan proses penampalan. Bagaimanapun, faktor saiz tangga yang panjang dan berat menyebabkan ia sukar untuk dibawa serta masalah ruang sempit di tapak pameran. 

 

Menurut Asrizam, selain isu keselamatan, menampal poster mengikut ketinggian yang sama tanpa senget adalah perkara yang merenyahkan dan memerlukan masa tetapi penting kerana ia boleh menjejaskan imej organisasi. 

 

"Prototaip Skypatcher dibangunkan menggunakan bahan kitar semula, mampu mempercepatkan 70% masa penampalan dan dapat mengelakkan risiko terjatuh sepenuhnya. Alat ini ringan, mudah digunakan dan mampu dikendalikan seorang petugas sahaja berbanding dua hingga empat orang menggunakan kaedah lama," katanya.

 

Alat yang telah mendapat perlindungan hak cipta itu turut memenangi tempat pertama dalam pertandingan KIK UPM 2022 yang dibangunkan bersama ahli kumpulan iaitu Mohammad Hisham Omar, Wan Mohd Hafiz Wan Baharuddin, Muhammad Izzat Nor Adzmi, Nor Azizah Ismail, Wan Nuryani Wan Mohamed Rosly dan Shahriman Hashim selaku fasilitator daripada Putra Science Park dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM.

 

Skypatcher merupakan inovasi ketiga dihasilkan KIK Langit Putra di dalam tema inovasi aktiviti berkaitan pemasaran yang sama setelah menghasilkan inovasi Skytider, penggantung gegantung dan inovasi Skyridder pembuang dawai dan gegantung pada tiang lampu bermula pada 2016. - DagangNews.com