Insiden kebakaran di SSGP hanya beri impak minimum kepada Bintulu Port - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Insiden kebakaran di SSGP hanya beri impak minimum kepada Bintulu Port - AmInvestment

kebakaran paip gas Petronas di Lawas. - Gambar The Borneo Post
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Nov - AmInvestment Bank menjangkakan insiden kebakaran di Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) hanya memberi impak minimum kepada Bintulu Port Holdings Bhd. 

 

Eksport gas asli cecair (LNG) merangkumi 49% daripada jumlah pengeluaran Bintulu Port, yang kesemuanya diperoleh daripada kompleks LNG Malaysia kendalian Petronas yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 29.3 juta tan setahun. 

 

Namun, firma itu percaya, impak daripada kebocoran itu adalah minimum kepada kumpulan, kerana kebanyakan gas asli dalam loji pencairannya diperoleh daripada Sarawak dan bukannya Sabah.

 

Menurutnya, pengeluaran gas asli harian dari Sabah hanya 15,200 tan sehari, atau 18% daripada 83,900 tan sehari di Sarawak, di mana kapasiti pengeluaran MLNG Dua berjumlah 9.6 juta tan setahun, atau 263,000 tan sehari.

 

"Saluran paip itu mempunyai kapasiti reka bentuk 750 juta kaki padu sehari, dan berdasarkan 1 tan: 48,700 kaki padu, gangguan harian berjumlah 15,400 tan LNG.

 

"Dengan mengandaikan 90 hari gangguan (dari akhir September 2022 hingga akhir Disember 2022), akan terdapat kekurangan sehingga 1.4 juta tan LNG pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), yang hanya akan mengurangkan pendapatan Bintulu Port sebanyak 4.6%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, mengesahkan insiden kebakaran di SSGP 'berhampiran KP 132, berdekatan Lawas', Sarawak yang dipercayai membabitkan kontraktor pihak ketiga yang melakukan kerja 'tidak berkaitan dengan operasi SSGP berhampiran kawasan izin lalu (ROW) saluran paip'.

 

Pada 21 September lalu, terdapat kebocoran saluran paip akibat pergerakan tanah di sekitar KP201 berhampiran Pa Berunut, Lawas yang menyebabkan Petronas mengisytiharkan 'force majeure' bekalan LNG kepada pelanggannya.

 

Kebocoran itu hanya menjejaskan kemudahan pengeluaran MLNG Dua dengan kapasiti nominal 9.6 juta tan setahun atau 33% daripada jumlah kapasiti nominal Kompleks LNG Petronas. Kemudahan pengeluaran LNG lain di dalam kompleks itu terus beroperasi seperti dirancang.

 

Menurut AmInvestment, satu lagi faktor yang boleh dilaksanakan bagi menangani situasi tersebut ialah Petronas boleh memilih untuk meningkatkan pengeluaran di Sarawak bagi menampung kekurangan bekalan dari Sabah.

 

"Selain itu, gangguan kebocoran saluran paip gas yang pernah berlaku pada Januari 2018, hanya menjejaskan 3% keuntungan selepas cukai Bintulu Port bagi FY18 berbanding FY17," katanya.

 

Oleh itu, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bintulu Port dengan nilai wajar tidak berubah pada RM6.05 sesaham.  Setakat 11.24 pagi, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM4.95. - DagangNews.com