INSKEN, AIM latih 3,920 usahawan mikro setakat Ogos 2022 | DagangNews Skip to main content

INSKEN, AIM latih 3,920 usahawan mikro setakat Ogos 2022

KUALA LUMPUR 6 Sept - Sebanyak 3,920 usahawan mikro telah dilatih Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), setakat Ogos 2022.

 

Sejak awal tahun ini, INSKEN berjaya menjalankan 67 kerjasama strategik melalui pelaksanaan program bimbingan serta latihan kepada usahawan mikro yang berada di bawah kawal selia Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)

 

INSKEN dan AIM yakin serta percaya bahawa usaha untuk membantu usahawan akan memberi impak yang lebih besar sekiranya ia mendapat sokongan dari pelbagai pihak melalui jalinan kerjasama.

 

Kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini juga komited untuk terus menghulurkan bantuan kepada usahawan melalui pelbagai program latihan serta bimbingan yang telah dirancang serta akan dilaksanakan pada tahun 2022.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, usaha membantu usahawan ini memerlukan kerjasama serta sokongan daripada pelbagai pihak dan hasilnya ternyata akan lebih baik. 

 

"Kerjasama antara INSKEN dan AIM ini wajar dijadikan contoh dan perlu diperbanyakkan lagi agar lebih ramai dapat menerima bantuan daripada kerajaan khususnya golongan B40 dan usahawan mikro," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kerjasama antara INSKEN dengan AIM ini terbahagi kepada dua kategori iaitu melalui penganjuran program latihan dan program bimbingan. 

 

Program latihan yang dijalankan adalah seperti Hasilkan Video Pemasaran Media Sosial Dengan Smartphone, Pemasaran e-Marketplace Shopee dan Lazada serta banyak lagi. Manakala, program bimbingan adalah melalui INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu. 

 

 

insken
Muhd Firdaus Azharuddin

 

 

Sehingga Ogos 2022, sebanyak 40 program latihan dan 17 program bimbingan telah dilaksanakan yang memberi manfaat kepada 1,496 usahawan daripada AIM. Selain program latihan dan bimbingan, kolaborasi di antara dua agensi ini turut berjaya melaksanakan Seminar Urus Tunai yang dijalankan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia. 

 

Sehingga hari ini, 10 Seminar Urus Tunai telah dilaksanakan yang memanfaatkan 1796 usahawan. Konsultasi perniagaan turut diberikan kepada usahawan AIM melalui Program INSKEN BizClinic.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin, INSKEN telah menjalankan pelbagai kolaborasi rentas agensi dan kementerian sejak dahulu lagi. 

 

 

insken

 

 

Terkini katanya, kerjasama antara INSKEN dengan AIM telah menunjukkan impak yang besar kerana lebih ramai usahawan mikro mendapat manfaat daripada segi ilmu keusahawanan bagi meneruskan kelangsungan serta memajukan perniagaan mereka.

 

Beliau berkata, kerjasama strategik seumpama ini mampu memantapkan ekosistem keusahawanan negara kerana setiap agensi akan dapat menggunakan sepenuhnya kepakaran serta peranan yang diberikan. 

 

 

insken

 

 

"Sebagai contoh, INSKEN merupakan pelaksana program latihan dan bimbingan keusahawanan manakala AIM mempunyai ribuan usahawan mikro yang perlu diberikan suntikan ilmu. Justeru, kerjasama antara agensi diperlukan untuk memenuhi jurang tersebut bagi mencapai matlamat yang sama iaitu membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.

 

"Hasil kolaborasi kedua-dua agensi ini juga akan dapat diukur melalui peningkatan hasil jualan peserta yang menyertai Program IBBC. Ia dijangka akan diumumkan setelah kesemua peserta program tersebut tamat menjalani bimbingan selama 4 bulan pada tahun ini. 

 

"Sehingga hari ini, INSKEN masih mengalu-alukan lebih banyak agensi atau kementerian untuk menjalinkan kerjasama agar lebih ramai usahawan di Malaysia dapat dibantu," katanya. - DagangNews.com