Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis - Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang lebih RM5.7 juta peningkatan hasil jualan serta penciptaan sebanyak 174 pekerjaan baharu melalui program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Online Onboarding Coaching Programme (E-Board).
Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar berkata secara keseluruhan, peningkatan hasil jualan tersebut dicipta oleh 383 usahawan yang terbahagi kepada 214 peserta Program IBBC dan 169 peserta Program E-Board.
Katanya, kejayaan INSKEN membuktikan bahawa program bimbingan dijalankan ternyata berkesan dalam membantu usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan ketika sedang menghadapi cabaran pandemik COVID-19.
"Keseluruhan kos perbelanjaan untuk melaksanakan Program IBBC mencecah nilai gandaan sebanyak 4.9 dan 2.3 bagi Program E-Board dijana dalam bentuk peningkatan hasil jualan usahawan.
“Program yang menggunakan pendekatan bimbingan secara one-on-one ini adalah wajar diteruskan serta ditingkatkan frekuensi pelaksanaannya agar lebih ramai usahawan mendapat manfaatnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2020/2021, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin.
Dalam pada itu Noh berkata, peserta program INSKEN akan diberikan pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan bantuan pembiayaan dengan agensi lain dan manfaat tersebut merupakan inisiatif kolaborasi antara agensi yang akan diteruskan oleh INSKEN.
Sementara itu, Muhd Firdaus berkata, secara keseluruhan, INSKEN melaksanakan 31 Program IBBC dan 10 kohort Program E-Board pada tahun ini dan 15 Program IBBC serta empat kohort Program E-Board masih lagi dalam tempoh pelaksanaan dijangka tamat dalam masa terdekat.
Katanya, kesemua peserta Program IBBC dan E-Board ini dipantau hasil jualannya dengan menggunakan aplikasi IPro iaitu sebuah sistem yang dibangunkan oleh INSKEN. -DagangNews.com