INSKEN komited jadi penghubung suara usahawan | DagangNews Skip to main content

INSKEN komited jadi penghubung suara usahawan

 Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama panelis dan peserta program Sesi Interaktif Peserta dan Alumni INSKEN yang diadakan di Melaka pada 21 Mac 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama panelis dan peserta program Sesi Interaktif Peserta dan Alumni INSKEN yang diadakan di Melaka pada 21 Mac 2021.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Mac. - Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) komited untuk menjadi saluran dan penghubung kepada suara usahawan melalui program latihan dan bimbingan untuk memajukan perniagaan para usahawan serta bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar.

 

Usaha itu selaras dengan saranan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyarankan para usahawan untuk beralih ke arah ekonomi digital seiring dengan perubahan era globalisasi.

 

“Saya faham, untuk mendigitalkan bisnes bukan mudah lebih-lebih lagi untuk usahawan usahawan kecil tetapi ia boleh dilaksanakan dan INSKEN sedia untuk membantu," jelas beliau.

 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan INSKEN hari ini.

 

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

Seiring saranan tersebut, INSKEN sebagai penyelaras program-program latihan dan bimbingan keusahawanan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah memperbanyakkan program latihan berasaskan topik digital sebagai persediaan untuk membantu usahawan melaksanakan transformasi perniagaan dari konvensional kepada digital. 

 

Selain daripada latihan dan bimbingan, INSKEN turut menyediakan platform untuk usahawan berinteraksi secara langsung bersama Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

INSKEN berkata, sesi itu bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan yang terdiri daripada peserta dan alumni program berkongsi pendapat, cadangan serta maklum balas berkaitan keusahawanan. 

 

 Program ​Sesi Interaktif Peserta dan Alumni INSKEN yang diadakan di Melaka pada 21 Mac 2021.
Program ​Sesi Interaktif Peserta dan Alumni INSKEN yang diadakan di Melaka pada 21 Mac 2021.

 

"Sesi interaktif ini telah diadakan sebanyak 2 kali iaitu pada 19 Mac 2021 di negeri Johor dan 21 Mac 2021 di negeri Melaka.

 

"Antara usahawan yang terlibat di negeri Johor adalah 56 peserta dari program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) Bakeri; program bimbingan 4 bulan berasaskan industri bakeri dan alumni program Online Onboarding Coaching Programme (E-Board); program bimbingan 3 bulan bertujuan memperkukuhkan kemampuan dan kapasiti usahawan mikro dan PKS serta koperasi dalam penggunaan platform e-Dagang melalui bimbingan (handhold) yang intensif secara atas talian), manakala sesi interaktif di negeri Melaka pula dihadiri oleh 63 peserta dan alumni program IBBC Café & Restaurant," jelas INSKEN.

 

Lebih menarik, sesi interaktif berkenaan turut dihadiri oleh beberapa panel hebat seperti  Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin yang bertindak sebagai moderator. - DagangNews.com