KUALA LUMPUR 17 Ogos - Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) terus mengorak langkah dalam memperkasa kerjasama strategik bersama lebih 90 pengasas produk terkenal Malaysia melalui Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA).
INSKEN dalam satu kenyataan berkata, program yang dilancarkan pada September 2021 itu melibatkan seramai 31 pengasas produk sedia ada dan 61 pengasas produk berdaftar sebagai rakan kerjasama baharu.
Menurutnya, program DNA menyasarkan penglibatan bakal usahawan yang ingin menceburi bidang keusahawanan dan masih dalam peringkat memahami selok-belok perniagaan bagi mengurangkan risiko kegagalan.
"Justeru penglibatan pengasas produk yang menawarkan pakej dropship memberi impak signifikan dalam membantu peserta memupuk nilai keusahawanan.
"Hasilnya setakat awal Ogos 2022, seramai 3,611 orang peserta telah menjalani Program DNA dan seramai 2,344 peserta berjaya dipadankan melalui platform DNA Marketplace bersama 31 pengasas produk sedia ada yang berdaftar," katanya.
Ibarat serampang dua mata katanya, program DNA turut memberi manfaat kepada pengasas produk yang mana mereka diberi kelebihan mengiklankan produk di platform DNA Marketplace yang dibangunkan INSKEN dan akan dilayari bakal 'dropshipper', selain menjadi rakan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta INSKEN.
"Namun apa yang penting adalah pengasas produk berpeluang menjana pendapatan hasil daripada dropshipper yang terlatih melalui program ini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, penglibatan pengasas produk memainkan peranan penting dalam kejayaan program tersebut kerana peserta akan memilih produk dan pakej dropship yang diminati sejurus tamat program.
"Pengasas produk yang berdaftar adalah bukan calang-calang kerana proses saringan dilakukan terlebih dahulu sebelum maklumat produk dan pakej dropship diiklankan di platform DNA Marketplace," katanya.
Tambah beliau, antara syarat kelayakannya adalah mempunyai pakej dan sistem dropship, tahap ketersediaan sokongan kepada dropshipper dan juga bekalan produk sedia ada untuk dijual.
INSKEN turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengasas produk sedia ada seperti Sugarbomb, Das Abdul Global, Zafesha Simply, Shasya Habib, Wany Snack dan lain- lain kerana komitmen menjayakan program DNA.
"Tidak dilupakan 61 pengasas produk baharu termasuk jenama Hasnuri, Nurraysa, Kucate dan Milagro yang turut diraikan dalam Majlis Hi-Tea INSKEN yang diadakan di Cheras, Selangor," kata kenyataan itu.
Maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN boleh didapati melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my dan media sosial rasmi INSKEN. - DagangNews.com