KUALA LUMPUR 21 Sept - Institusi kewangan akan memainkan peranan penting dalam membangun semula Malaysia dan memulihkan ekonomi selepas terjejas akibat COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata memandangkan kedudukan sektor kewangan terikat dengan ekonomi lebih meluas, adalah penting untuk industri perbankan meningkatkan usaha memacu semula pemulihan ekonomi sambil menyokong kesinambungan perniagaan, terutama dalam memulakan perniagaan apabila ekonomi dibuka kembali.
Dalam hal ini kata beliau, industri perbankan diharap dapat memudahkan pinjaman dengan syarat pembiayaan dan pembayaran yang akomodatif, termasuk mengambil bahagian dalam penawaran program iTEKAD yang menyokong pengusaha mikro untuk memulakan dan mengekalkan perniagaan mereka.
Selain itu ujar beliau, institusi kewangan juga perlu menyokong termasuk mempelbagaikan skim pembiayaan, segmen peminjam yang paling tidak dilayan baik sektor perhotelan, perusahaan mikro atau usahawan wanita.
"Bank juga perlu menyediakan kemudahan berasaskan hutang seperti skim kecairan CAKNA dan Jana Niaga yang mengurangkan kekangan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa meningkatkan pengearan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara maya pada Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific hari ini, lapor Berita Harian.
Yang turut serta Pengerusi Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Tan Sri Michael Yeoh.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dalam membina daya tahan, bank dan institusi kewangan perlu memainkan peranan dalam menyokong pelanggan dalam peralihan kepada norma baharu, termasuk menerapkan digitalisasi dalam fokus dan operasi perniagaan mereka.
"Bank juga perlu meningkatkan peranan perantaraan kewangan sepanjang kitaran perniagaan mana-mana syarikat, sama ada pengusaha yang bercita-cita tinggi atau konglomerat di ambang tawaran awam permulaan (IPO).
"Institusi kewangan dan perbankan juga perlu meneroka bentuk pembiayaan alternatif termasuk kewangan campuran, pembiayaan rantaian bekalan atau kemudahan berasaskan perdagangan baru," katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan akan melengkapkan inisiatif yang lebih luas kerajaan termasuk Dasar Revolusi Industri Keempat Nasional (4IR), di mana digitalisasi dan penggunaan teknologi sangat penting dalam meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi negara, sesuai dengan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
"Pentingnya bagi kita untuk keluar dari wabak ini dengan selamat dan sistematik yang mana sama pentingnya kita membangun kembali dengan lebih baik. Itulah sebabnya sektor kewangan mesti maju dan memainkan peranannya dalam agenda iklim dan kelestarian.
"Adalah menggembirakan untuk melihat bahawa sektor kewangan bergerak maju ke hadapan, termasuk melalui penawaran penyelesaian kewangan yang mampan dan bantuan kepada syarikat dalam perjalanan peralihan mereka," katanya.
Tengku Zafrul berkata, sebagai penggerak modal, industri perbankan adalah kunci dalam membantu peralihan syarikat ke arah amalan rendah karbon dan kelestarian melalui pembiayaan dan pelaburan menjangkaui wabak sama ada menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, teknologi baru atau cara baharu menjalankan perniagaan. - DagangNews.com