Institusi tempatan muncul pembeli bersih RM103.84 juta ekuiti minggu lalu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Institusi tempatan muncul pembeli bersih RM103.84 juta ekuiti minggu lalu - MIDF Research

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Jan -  Minggu pertama 2022 menyaksikan institusi tempatan kukuh sebagai pembeli bersih pada RM103.84 juta manakala peruncit dan pelabur asing masing-masing merupakan penjual bersih pada RM41.69 juta dan RM62.15 juta.

 

Menurut Laporan Aliran Dana Mingguan yang dikeluarkan MIDF Research, dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing mencatatkan pergerakan mingguan sebanyak 21.18%, 3.00% dan 19.16% dalam purata nilai dagangan harian (ADTV).

 

Katanya, bagi minggu berakhir 7 Januari 2022, Bursa Malaysia mencatatkan aliran keluar berjumlah RM62.15 juta dengan pelabur asing merupakan penjual bersih bagi minggu berkenaan. 

 

"Ketika pasaran dibuka semula pada Isnin minggu lepas, pelabur asing membeli RM37.35 juta bersih ekuiti tempatan, dengan peruncit dan institusi tempatan sebagai penjual bersih masing-masing berjumlah RM19.28 juta dan RM18.08 juta. 

 

"Pelabur asing merupakan penjual bersih pada Khamis dan Jumaat, di mana gabungan aliran keluar yang direkodkan ialah RM141.01 juta. 

 

"Ini telah mengubah jumlah aliran masuk yang diperhatikan pada hari Isnin hingga Rabu. 

 

"Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Isnin sebanyak RM37.35 juta dan aliran masuk terkecil pada hari Rabu hanya RM19.16 juta," katanya dalam laporannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, bagi minggu lepas juga, peruncit adalah penjual aktif kecuali pada Khamis dan aliran keluar bersih terbesar adalah pada hari Jumaat dan terkecil pada hari Selasa, masing-masing berjumlah RM24 juta dan RM15.06 juta.

 

"Ia bertentangan dengan institusi tempatan di mana Bursa menyaksikan institusi tempatan sebagai pembeli bersih kecuali pada hari Isnin dan Selasa. 

 

"Belian bersih terbesar dicatatkan pada Khamis pada RM83.17 juta dan jualan bersih terbesar pada hari Isnin pada RM18.08 juta," katanya. -DagangNews.com