Institut reka bentuk Taiwan tawar 60% subsidi bagi projek kerjasama Malaysia | DagangNews Skip to main content

Institut reka bentuk Taiwan tawar 60% subsidi bagi projek kerjasama Malaysia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Institut reka bentuk Taiwan, Taiwan Design Research Institute (TDRI) bakal menawarkan sehingga 60% subsidi bagi mana-mana projek kolaborasi syarikat Malaysia yang berjaya.

Kerjasama menerusi 'Taiwan x Malaysia Business Matching Session' itu menyaksikan sebanyak 16 calon yang dipilih daripada proses permohonan.

TDRI dalam sebuah kenyataan berkata, syarikat yang ingin menubuhkan jenama atau menjenamakan semula perniagaan mereka pasca COVID-19 akan melihat kolaborasi itu sebagai sebuah peluang keemasan.

“Tawaran itu menarik ramai pihak daripada pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, barangan pengguna bergerak pantas, pembuatan perabot, akustik kuantum, runcit, borong dan perkhidmatan,” jelas TDRI.

Bagi mendapatkan subsidi itu, calon perlu mengemukakan borang permohonan dalam talian dan melalui proses perjumpaan selama 30 minit dengan syarikat reka bentuk yang terpilih untuk menganggarkan keperluan projek mereka dan seterusnya dinilai oleh TDRI.

Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penjenamaan, reka bentuk identiti korporat, reka bentuk produk, reka bentuk pembungkusan, reka bentuk visual dan reka bentuk web.

Pada bulan lalu, TDRI diangkat sebagai institut utama bagi 'Taiwan x Malaysia Business Matching Session' yang bertujuan merapatkan jurang komunikasi antara perniagaan dan rek bentuk.

TDRI juga bertanggungjawab mempromosikan perkhidmatan reka bentuk Taiwan ke negara-negara lain termasuk dari Jepun, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Menerusi platform padanan perniagaan, TDRI membantu pemilik dan pengeluar perniagaan untuk mempercepat fasa reka bentuk dan pembangunan projek mereka.

 Tahun ini merupakan kali kedua TDRI melaksanakan kolaborasi dengan Malaysia menerusi agensi reka bentuk tempatan, Tsubaki Studio.

webinar TDRI

Sehubungan itu, kerjasama tersebut menyaksikan penganjuran siri webinar pada 22 dan 23 Julai 2020 lalu yang mengumpulkan pereka bentuk grafik, perunding jenama, artis digital, pelajar reka bentuk dan komuniti bisnes.

Presiden TDRI, Chang Chi-Yi pada webinar itu berkata, reka bentuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai perniagaan.

 

Presiden TDRI
Chang Chi-Yi

 

Jelasnya, kerjasama antara Taiwan dan Malaysia dengan menumpukan terhadap industri reka bentuk merupakan idea bernas yang dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan seterusnya pertumbuhan budaya.

“Pada tahun ini, COVID-19 dilihat sebagai ancaman kepada dunia, tetapi kepada kita ia merupakan sebuah peluang. Menerusi reka bentuk, ia diharap dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta lebih berdaya saing,” jelasnya. – DagangNews.com