KUALA LUMPUR 16 Julai - Proses pra-kelulusan bagi pinjaman rumah kini lebih mudah melalui platform Loanplus yang dinaik taraf oleh Finology Sdn. Bhd. (Finology) melalui integrasi data kredit syarikat perkhidmatan global terkemuka, Experian.
Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services (Malaysia), Dawn Lai berkata, pembaharuan platform tersebut pasti akan dapat membantu banyak pihak dalam peringkat urusan hartanah.
"Dengan menggabungkan laporan kredit Experian dan penyelesaian Finology untuk pra-kelulusan pinjaman hartanah, platform ini dapat membantu pembeli hartanah, pemaju hartanah, dan pemberi pinjaman Malaysia. Para pengguna akan dapat padanan yang lebih baik dari segi kelayakan pinjaman.
"Kami juga harap inisiatif ini dapat mencetuskan impak sosial positif yang akan mempercepat proses pemilikan hartanah mampu milik di Malaysia. Pengguna akan diberi bimbingan digital serta informasi pengambilan kredit. Ini satu perkara mustahak lebih-lebih lagi apabila melibatkan keputusan penting seperti pemilikan hartanah," katanya dalam satu kenyataan.
Loanplus direka khas untuk membantu mempercepatkan urusan semakan kelayakan pembeli dengan pinjaman hartanah.
Melalui platform tersebut, pembeli akan diberi penjelasan mendalam terhadap kelayakan pinjaman sekali gus dapat membuat tempahan hartanah dengan lebih yakin.
"Pemberi pinjaman pula dijamin dengan pelanggan yang layak diberikan kredit. Manakala syarikat pemaju hartanah dapat meningkatkan kadar pembelian selepas tempahan dibuat," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Komersial Finologi, Robin Ang berkata, melalui integari platform itu juga, proses penilaian dan pinjaman dapat ditambah baik dengan menyatukan pembeli, pemberi pinjaman dan penjual hartanah dengan cara efisyen melalui kaedah digital yang lebih mudah.
"Pemaju hartanah dapat kemukakan permohonan pinjaman digital secara terus kepada pihak bank dan terus dapat tahu kelayakan pinjaman calon pembeli.
"Sekiranya pembeli tidak layak mendapat pinjaman, nasihat akan diberikan mengenai cara untuk mereka meningkatkan peluang mendapatkan pinjaman," ujarnya.
Pada 2019, Loanplus telah menerima permohonan pra-kelulusan pinjaman hartanah bernilai kira-kira RM1.46 bilion dan dijangka memproses lebih daripada 10,000 permohonan pada tahun 2020. - DagangNews.com