Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Inventori minyak sawit Malaysia dianggarkan turun sebanyak 12% kepada 1.67 juta tan pada akhir Julai tahun ini.
Menurut CGS-CIMB Research, penurunan tersebut dilihat berbeza dalam masa 10 tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan penurunan sekitar 3.6%.
"Kami mengunjurkan penurunan 3% berbanding bulan lalu dalam pengeluaran CPO pada 20 Julai. Ini adalah berbeza daripada trend sejarah peningkatan berbanding bulan lalu sebanyak 10% pada output Julai untuk 10 tahun terakhir.
"Ini mungkin disebabkan sambutan hari raya Aidiladha pada bulan Julai yang mengakibatkan produktiviti lebih rendah.
CGS-CIMB Research juga memberitahu, output yang lemah juga disebabkan oleh asas pengeluaran yang tinggi pada Julai.
Situasi tersebut menyaksikan Malaysia mencatatkan pengeluaran bulanan tertinggi sebanyak 1.8 juta tan pada bulan sebelumnya iaitu Jun 2020.
Sementara itu, jumlah eksport minyak sawit dijangka akan meningkat sebanyak 6% kepada 1.82 juta tan pada Julai.
Jumlah tersebut adalah jauh melebihi purata sejarah eksport minyak sawit bulan Julai selama 10 tahun terakhir sebanyak 1.45 juta tan.
Dalam analisis yang sama, CGS-CIMB Research berkata, eksport yang lebih tinggi itu disebabkan oleh kelonggaran sekatan perjalanan di seluruh dunia.
"Ini mungkin juga disebabkan oleh permintaan minyak sawit yang lebih tinggi dalam sektor perhotelan, restoren dan katering menjelang cuti perayaan.
"Perkara ini turut didorong oleh kebimbangan pengimport yang sukar mendapatkan bekalan minyak sawit sekiranya berlaku gelombang kedua COVID-19," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com