Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - IOI Corp Bhd mengumumkan IOI Investment (L) Bhd telah memutuskan untuk menetapkan jumlah penerimaan akhir sebanyak AS$295.22 juta (kira-kira RM1.23 bilion) untuk tawaran tender tunai bon AS$600 juta kumpulan perladangan kelapa sawit itu yang tamat pada 4 petang (waktu London, UK) pada hari Rabu (27 Okt).
Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, IOI Corp berkata, tarikh jangkaan bagi penyelesaian tawaran itu adalah pada 9 November 2021.
"Susulan penyelesaian tawaran itu, AS$304.78 juta dalam jumlah nominal agregat nota akan kekal tertunggak," kata IOI Corp.
Bon IOI Investment bernilai AS$600 juta, yang perlu dibayar pada 2022, membayar kadar faedah tahunan sebanyak 4.375%, menurut IOI Corp, yang merupakan penjamin sekuriti di bawah program nota jangka sederhana Euro AS$1.5 bilion IOI Investment.
Sebelum ini anak syarikat IOI Corp Bhd, IOI Investment (L) Bhd menjemput pemegang nota AS$ 600 juta 4.375% yang belum dijelaskan pada tahun 2022 untuk mengemukakan tender bagi pembelian nota-nota mereka dengan wang tunai dengan syarat dan dalam tawaran tender untuk dihantar kepada mereka.
Katanya, tawaran yang dibuat bersempena penerbitan nota baharu itu adalah sebahagian daripada pengurusan proaktif dana kumpulan dan struktur modalnya.
"Nota yang dibeli oleh IOI Investment berdasarkan tawaran tersebut dijangka akan dibatalkan dan tidak akan dikeluarkan atau dijual semula.
"Penawar akan membayar untuk sebarang nota yang dilelongkan dan diterima untuk pembelian olehnya sesuai dengan tawaran harga beli AS$1,023 bagi setiap AS$1,000 dari jumlah nominal nota tersebut (harga pembelian)," katanya. -DagangNews.Com