IoT bantu rangsang ekonomi negara D-8 pasca COVID-19, kata PM | DagangNews Skip to main content

IoT bantu rangsang ekonomi negara D-8 pasca COVID-19, kata PM

 

PUTRAJAYA 9 April - Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Khamis berkata, Malaysia percaya “Internet of Things” (IoT) akan merangsang ekonomi negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) dan menjadi pemacu utama dalam mengubah ekonomi global pasca-COVID-19.

 

Dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak ke-10 D-8 secara maya semalam, Muhyiddin berkata, Malaysia sedang giat membangunkan industri berasaskan IoT seperti e-dagang, analitik data raya, kecerdasan buatan (AI), blockchain dan automasi.

 

Beliau berkata pandemik COVID-19 mengetengahkan lagi keperluan mendesak terhadap agenda perangkuman digital.

 

“Sekalipun krisis membolehkan ratusan juta orang bekerja, belajar dan berhubung secara digital, pada masa sama dapat dilihat krisis itu memburukkan lagi keadaan golongan rentan yang jelas terlalu ramai di seluruh dunia.

 

“Lebih-lebih lagi sekarang, kesalinghubungan harus menjadi teras dalam semua keutamaan negara dan antarabangsa dari segi penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kerajaan dan seterusnya,” kata Muhyiddin, lapor Bernama.

 

D-8 terdiri daripada lapan negara membangun iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

 

Berkongsikan pengalaman Malaysia, Muhyiddin berkata, kerajaan baru-baru ini mengumumkan Pelan Hala Tuju Transformasi Digital dengan pelan tindakannya menumpukan pada pengembangan dan peningkatan kesalinghubungan digital negara.

 

Beliau berkata pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai USD12.7 bilion, akan menjadi platform untuk mencapai aspirasi dengan mempercepat kesalinghubungan digital negara melalui peluasan akses mudah alih, gentian dan tanpa wayar tetap, serta membuka laluan kepada 5G.

 

“Kami percaya ia akan mendorong kepada penerimagunaan teknologi dan transformasi digital. Ini perlu bagi trajektori ekonomi negara,” katanya.

 

Beliau berkata Malaysia mengakui industri berasaskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) akan mempercepat pertumbuhan ekonomi digital.

 

Muhyiddin berkata di bawah inisiatif beraspirasikan teknologi IR4.0, kerajaan memperkenalkan Malaysia 5.0 bagi menangani isu akses digital, perangkuman kewangan, produktiviti dan pertumbuhan menerusi instrumen Industri 4.0 seperti fintech, blockchain dan AI, memandangkan ini akan menyumbang kepada ekonomi digital serta ekonomi lebih mampan.

 

Katanya, program yang direka bentuk secara khusus dilancarkan baru-baru ini bagi memperkasa belia Malaysia yang terjejas secara langsung oleh pandemik.

 

Muhyiddin mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak D-8 yang dihoskan oleh Bangladesh, iaitu pengerusi semasa sidang berkenaan.

 

Antara yang hadir pada sidang kemuncak secara maya itu ialah Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina; Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan; Presiden Indonesia Joko Widodo; Presiden Iran Hassan Rouhani dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan. - DagangNews.com