IPO Betamek terlebih langgan 17.06 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE akhir bulan ini | DagangNews Skip to main content

IPO Betamek terlebih langgan 17.06 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE akhir bulan ini

KUALA LUMPUR 12 Okt - Betamek Bhd berkata tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu terlebih langgan sebanyak 17.06 kali oleh pelabur-pelabur.

 

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang mengkhusus dalam reka bentuk dan pembangunan, pemerolehan dan pembuatan elektronik dan komponen tersuai untuk industri automotif berkata, sejumlah 6,682 permohonan untuk 406,311,800 saham baharu diterima.

 

Menurutnya, notis peruntukan akan dihantar kepada pemohon yang berjaya pada atau selepas 25 Oktober.

 

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.

 

Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir berkata, lebihan langganan adalah satu petanda yang menggalakkan.


 

Mirzan Mahathir
                                  Mirzan Mahathir

 


"Kami percaya bahawa prospek kami dalam industri EMS automotif adalah menguntungkan, dengan mengambil kira pemulihan dan pertumbuhan jangka panjang industri automotif, sasaran jualan pelanggan kami, kekuatan daya saing kami dan strategi perniagaan kami.

 

“Memandangkan kenderaan hibrid, elektrik dan autonomi memperoleh bahagian pasaran global, Betamek juga berada dalam kedudukan unik untuk memanfaatkan trend pasaran yang semakin meningkat ini, dan mengembangkan serta mempelbagaikan penawaran produk kami dengan penyelesaian yang kompetitif," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia secara tentatif dijadualkan pada 26 Oktober ini. - DagangNews.com