IPO Master Tec catat lebihan langganan 7.11 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Master Tec catat lebihan langganan 7.11 kali

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Tawaran awam permulaan (IPO) Master Tec Group Berhad melibatkan 51 juta saham terbitan untuk orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 7.11 kali.

 

Pengilang kabel dan wayar yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Januari tersebut menyaksikan terbitan awam sebanyak 285.6 juta saham biasa, yang terdiri daripada terbitan awam berjumlah 158.1 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 127.5 juta saham sedia ada.

 

Berdasarkan asas saham yang diperbesarkan sebanyak 1.02 bilion saham dan harga IPO sebanyak 39 sen sesaham, kumpulan itu dijangka mempunyai permodalan pasaran bernilai RM397.8 juta, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut kenyataan tersebut, sejumlah 7,276 permohonan untuk 413.6 juta saham terbitan telah diterima daripada orang  awam Malaysia, iaitu kadar lebihan langganan 7.11 kali.

 

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 2,475 permohonan untuk 80.3 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 2.15 kali.

 

Sementara itu, sebanyak 4,801 permohonan untuk 333 juta saham terbitan diterima bagi bahagian awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 12.07 kali.

 

Di samping itu, 2.1 juta sahaman terbitan bagi permohonan daripada pengarah dan pekerja berkelayakan telah dilanggan sepenuhnya.

 

Bagi 127.5 juta saham terbitan yang disediakan untuk permohonan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti memperoleh kelulusan MITI, agregat 87.5 juta saham terbitan telah dilanggan.

 

Menurut terma yang dinyatakan dalam prospektus Master Tec bertarikh 28 Disember 2023, sejumlah 40 juta saham terbitan daripada permohonan oleh pelabur Bumiputera yang dikenal pasti memperoleh kelulusan MITI diperuntukkan semula kepada pelabur awam Bumiputera.

 

SJ Securities Sdn Bhd, sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal telah mengesahkan bahawa 127.5 juta saham terbitan yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti memperoleh kelulusan MITI telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

Tambahan pula, 105 juta saham terbitan yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih juga telah dikeluarkan sepenuhnya.  - DagangNews.com