IPO Minox catat lebihan langganan 143.76 kali | DagangNews Skip to main content

IPO Minox catat lebihan langganan 143.76 kali

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Tawaran awam permulaan (IPO) Minox International Group Berhad telah mencatatkan kadar lebihan langganan sebanyak 143.76 kali melibatkan 18 juta saham biasa baharu yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia.

 

Pengedar injap sanitari keluli tahan karat, tiub dan kelengkapan itu berkata  ia telah menerima sejumlah 15,818 permohonan untuk kira-kira 2.6 bilion saham dengan nilai kira-kira RM651.4 juta.

 

Bagi bahagian Bumiputera, syarikat itu menerima 8,849 permohonan untuk kira-kira 1.1 bilion saham, mencerminkan kadar terlebih langganan sebanyak 126.29 kali.

 

Sementara itu, kategori awam Malaysia yang lain mencatat 6,969 permohonan untuk kira-kira 1.5 bilion saham dengan kadar lebihan langganan sebanyak 161.22 kali.

 

Minox, yang dijadualkan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 Oktober, menyasarkan untuk menjana RM22.5 juta daripada IPO menerusi 90 juta saham biasa baharu pada 25 sen sesaham.

 

Selain IPO, Minox juga menerbitkan 10.8 juta saham untuk pengarah, pekerja dan individu berkelayakan, 16.2 juta saham penempatan persendirian dan 18 juta saham sedia ada bagi pelabur terpilih.

 

Tambahan pula, 45 juta saham yang ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), juga telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

Pengarah Urusan Minox, Cheong Chee Son berkata permintaan pelabur mengukuhkan komitmen syarikat untuk menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan memberi rangsangan dalam keyakinan untuk melaksanakan strategi pertumbuhan serampang tiga mata bagi  memanfaatkan peluang dalam industri injap sanitari dan kelengkapan yang semakin berkembang.

 

 

Cheong Chee Son
Cheong Chee Son

 

 

“Majoriti atau 57.9% daripada hasil IPO akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan kami. Pertama, kami komited untuk memperkenalkan kelengkapan dan injap vakum baharu untuk aplikasi dalam barisan pengeluaran semikonduktor dengan memanfaatkan pasukan reka bentuk dan pembangunan dalaman.

 

“Seterusnya, kami merancang untuk membina gudang keempat di Puchong, Selangor bagi menyediakan ruang simpanan tambahan seluas 18,690 kaki persegi untuk menampung perniagaan yang semakin berkembang.

 

“Akhir sekali, kami sedang menyediakan gudang baharu seluas 7,500 kaki persegi di Singapura untuk menyimpan kelengkapan vakum dan injap baharu kami untuk industri semikonduktor, serta menyimpan inventori yang memenuhi keperluan pelanggan kami di Singapura dan pasaran luar negara yang lain,” ujar beliau. - DagangNews.com