IPO penyedia perkhidmatan logistik domestik AGX Group terlebih langgan 15.43 kali | DagangNews Skip to main content

IPO penyedia perkhidmatan logistik domestik AGX Group terlebih langgan 15.43 kali

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Tawaran awam permulaan (IPO) penyedia perkhidmatan logistik domestik AGX Group Berhad, yang dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 7 Februari 2024, telah terlebih langgan sebanyak 15.43 kali oleh orang awam Malaysia.

 

Sebanyak 96.5 juta saham baharu ditawarkan orang ramai Malaysia dan sejumlah 5,429 permohonan daripada orang awam Malaysia untuk melanggan sehingga 355.7 juta saham terbitan, dengan lebihan langganan sebanyak 15.43 kali.

 

Daripada jumlah tersebut, bahagian Bumiputera menerima 3,007 permohonan untuk melanggan 179 juta saham terbitan, yang terlebih langgan 15.53 kali.

 

Sementara itu, bahagian awam lain menerima 2,422 permohonan untuk melanggan 176.7 juta saham terbitan, iaitu 15.32 kali lebihan langganan.

 

Selain itu, 6.32 juta saham terbitan bagi pengarah dan pekerja berkelayakan juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

TA Securities, sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan penempatan, mengesahkan bahawa 68.53 juta saham terbitan dan 30 juta saham sedia yang ditawarkan untuk dijual melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah diambil sepenuhnya.

 

IPO Kumpulan itu membabitkan penawaran awam sebanyak 96.5 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan sebanyak 30 juta saham biasa sedia ada.

 

AGX Group menyasarkan untuk mengumpul RM33.78 juta daripada IPO dan sebanyak RM16.44 juta daripadanya akan digunakan untuk modal kerja, manakala RM8.7 juta akan dimanfaatkan bagi pengembangan perniagaan di Malaysia dan Korea Selatan.

 

Bakinya berjumlah RM4.14 juta dan RM4.5 juta masing-masing akan digunakan bagi pembayaran hutang pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com