Ipoh sertai empat destinasi lain sebagai hab DE Rantau untuk pacu program nomad digital | DagangNews Skip to main content

Ipoh sertai empat destinasi lain sebagai hab DE Rantau untuk pacu program nomad digital

Shaarani (tengah) bersama Mahadhir (empat dari kanan) bergambar dengan rakan industri yang dilantik sebagai Hab DE Rantau@Ipoh pada majlis pelancaran program tersebut di Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 5 Julai - Ipoh menyertai empat destinasi lain di negara ini apabila dipilih sebagai hab DE Rantau untuk nomad digital bagi tahun ini oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

Nomad digital merujuk kepada kumpulan orang yang boleh melakukan kerjanya di mana sahaja, pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu dan tempat.

 

Lokasi tersebut ialah Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Lumpur dan Melaka.

 

DE Rantau dipacu oleh tawaran dan permintaan oleh komuniti yang disasarkan iaitu nomad digital warga asing dan tempatan, pemilik atau pengendali tempat-tempat penginapan serta rakan ekosistem.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz berkata, pemilihan Ipoh akan membantu melonjakkan kemajuan digital bandar raya itu melibatkan pelbagai pemain industri ekonomi digital global dan tempatan.

 

Shaarani (tengah) mendengar penerangan daripada rakan platform digital swasta yang terlibat dalam nomad digital.
Saarani (tengah) mendengar penerangan daripada rakan strategik platform digital swasta yang terlibat dalam nomad digital. 

 

Katanya, sehingga kini, terdapat 1,153 Hab DE Rantau di Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Lumpur, Melaka dan terbaharu di Ipoh.

 

"Sejak permohonan Hab DE Rantau@Ipoh dibuka pada bulan Jun, MDEC dengan kerjasama Tourism Perak telahpun mengiktiraf 19 Hab DE Rantau di Ipoh.

 

"Hab DE Rantau merupakan tempat-tempat penginapan yang telah diiktiraf oleh MDEC sebagai sesuai untuk warga nomad digital lengkap dengan internet berkelajuan tinggi dan pelbagai jenis perkhidmatan daripada platform-platform digital.

 

"Hab DE Rantau@Ipoh bakal memberikan pelbagai pengalaman unik dan tersendiri kepada para nomad digital.

 

"Ini kerana Perak juga kaya dengan kepelbagaian seni, budaya, monumen bersejarah, keindahan lanskap malah keenakan pelbagai juadah tempatan," ujarnya.

 

Ipoh menyertai empat destinasi lain di Malaysia apabila dipilih sebagai Hab DE Rantau bagi program nomad digital.
Ipoh menyertai empat destinasi lain di Malaysia apabila dipilih sebagai Hab DE Rantau bagi program nomad digital. 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program DE Rantau@Ipoh yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad.

 

Hadir sama Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee dan Exco Komunikasi, Multimedia & NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.

 

Menurut Mahadhir, sehingga kini sebanyak 1,405 permohonan Pas Nomad DE Rantau telah diterima oleh MDEC. 

 

Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak 492 Pas Nomad DE Rantau telah diluluskan dan lebih ramai nomad digital bakal menerima pas mereka dalam masa terdekat. 

 

"MDEC juga sedang berusaha untuk menarik minat lebih ramai nomad digital warga Malaysia, yang juga boleh bekerja sambil melancong dan membantu meningkatkan pelancongan domestik negara kita," ujarnya. - DagangNews.com

 

parafrasa