Isi rumah kurang RM5,000 lebih terkesan tekanan kewangan - BNM | DagangNews Skip to main content

Isi rumah kurang RM5,000 lebih terkesan tekanan kewangan - BNM

 

ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pandemik COVID-19 memberi tekanan besar terhadap ekonomi dan sistem kewangan global yang menyaksikan prospek pendapatan dan pekerjaan isi rumah turut terjejas akibat pandemik walaupun sebahagian besar daripada mereka terus berdaya tahan.

Menurut laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi separuh pertama 2020 yang dikeluarkan BNM hari ini, isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 akan lebih terkesan dengan tekanan kewangan pada separuh pertama tahun ini walaupun isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 juga berisiko disebabkan ketiadaan penampan kecairan dan ketidaktentuan prospek pendapatan.

Ini kerana mereka pada awalnya telah membuat pembiayaan bagi membeli kediaman sama ada tahun lalu atau Jun berikutan pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

"Walaupun pasaran tenaga buruh dijangka bertambah baik, peminjam daripada sektor terjejas dan pendapatan tidak menentu akan terus berdepan cabaran," katanya. 

Bagaimanapun, laporan itu mendapati pertumbuhan hutang isi rumah bagi separuh pertama tahun ini menyederhana kepada 4% berbanding 5.5% bagi tempoh sama tahun lalu, di sebalik langkah sekatan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang pandemik COVID-19. 

Keadaan ini disebabkan terutamanya pertumbuhan pembiayaan bagi pembelian kediaman dan kenderaan yang lemah dalam tempoh berkenaan, masing-masing pada kadar 7.2% dan -0.9% berbanding 8.5% dan -0.0% tahun lalu. 

"Di sebalik pertumbuhan hutang yang rendah, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 87.5% setakat Jun 2020 berbanding 86.9% pada 2015 disebabkan penguncupan mendadak dalam KDNK nominal pada suku kedua tahun ini. 

"Nisbah ini bagaimanapun dijangka menurun apabila aktiviti ekonomi kembali beroperasi dan isi rumah mula membayar pinjaman mereka," katanya.  

Laporan itu juga mendapati walaupun hutang isi rumah kekal tinggi, secara dasarnya mereka masih lagi membuat pinjaman mengikut kemampuan yang boleh dilihat menerusi nisbah pembayaran hutang median keseluruhan pada 35% dan pembiayaan baharu diluluskan, 43%. 

Berdasarkan laporan itu juga, rosot nilai bagi pinjaman isi rumah dijangka meningkat dua kali ganda pada separuh kedua 2021. 

"Ini memandangkan program bantuan pembiayaan semula akan kekal sehingga suku pertama 2021 bagi membantu individu yang terjejas punca pendapatan," katanya. 

Jelas BNM, keseluruhan rosot nilai akan meningkat melebihi 4% menjelang akhir 2021 terutama menerusi segmen perniagaan, disebabkan pandemik COVID-19 yang memberi kejutan kepada ekonomi dan kewangan. 

Bagaimanapun, menurutnya, peralihan daripada pemberian moratorium secara menyeluruh kepada langkah bantuan bayaran balik pinjaman secara lebih bersasar akan terus memberi bantuan sementara kepada peminjam yang masih menghadapi kesukaran. 

Pada masa sama, katanya, langkah ini juga akan memberikan gambaran prestasi pinjaman bagi bank-bank yang lebih baik. 

"Keadaan ini merupakan syarat penting untuk mengurangkan penghindaran risiko dan menggalakkan penawaran kredit bagi menyokong pemulihan ekonomi," katanya. - DagangNews.com