Ismail Sabri harap Bajet 2023 yang dibentang tahun lepas diluluskan | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri harap Bajet 2023 yang dibentang tahun lepas diluluskan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Majlis Perasmian Pusat Kawalan Operasi Daerah Bera (PKOD) di Bera, Pahang pada 19 Januari 2023. - Gambar Astro AWANI

BERA 19 Jan - Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap semua projek pembangunan yang dibentangkan dalam Bajet 2023 pada tahun lalu, khususnya yang menjaga kepentingan rakyat wajar diteruskan kerajaan sekarang menerusi Bajet 2023 yang akan dibentang pada Februari ini.

 

"Saya harap bajet yang telah dibentangkan tahun lepas diluluskan tanpa sebarang pindaan atau kalau ada penambahbaikan itu lebih bagus.

 

"Setakat hari ini, saya tengok, banyak bajet-bajet yang kita luluskan sebelum ini diteruskan.

 

"Sebagai contoh, Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang saya umumkan akan dibayar dan diteruskan walaupun ditukar nama kepada Sumbangan Tunai Rahmah," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Kawalan Operasi Daerah Bera (PKOD), di sini hari ini.

 

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, menerusi Bajet 2023 yang dibentangkan tahun lepas banyak memfokuskan kepada projek-projek pembangunan khusus untuk kepentingan rakyat, termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak, lapor Astro AWANI.

 

"Tidak kiralah apa projek sekali pun asalkan ia projek demi kepentingan rakyat, saya harap ia dapat diteruskan kerajaan hari ini.

 

"Banyak projek-projek lain yang boleh diteruskan termasuk program perumahan Satu Keluarga Satu Rumah yang telah diluluskan sebelum ini memandangkan isu perumahan merupakan salah satu isu besar yang perlu ditangani oleh kerajaan," ujarnya lagi.

 

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu turut menyarankan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSU) supaya mengkaji semula berkaitan gred pangkat dalam pasukan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) seperti yang telah diluluskan Kabinet sebelum ini.

 

Katanya, sehingga kini, gred bagi pegawai APM Daerah masih rendah iaitu pada gred KP26 dan KP29.

 

"Gred ini masih rendah dengan jabatan-jabatan lain berbanding pegawai peringkat daerah sedangkan tugas APM ini sangat besar dari terutamanya dari segi menyelamat, banjir, kemalangan dan sebagainya.

 

"Jika berdasarkan daerah, sebagai contoh di Bera ini, yang merupakan sebuah daerah yang besar, tapi pegawai masih gred yang rendah sedangkan tugas mereka tak setara dengan tugas yang dilaksanakan," jelasnya.

 

Beliau berharap, perkara ini mendapat perhatian KSU dan dikaji semula, malah segera melaksanakan cadangan tersebut. - DagangNews.com