PUTRAJAYA 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan wujud ugutan dan desakan supaya beliau dipecat sebagai Naib Presiden UMNO sekiranya tidak menunaikan permintaan parti membubarkan Parlimen secepat mungkin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung dalam keadaan mesra.
"Tak ada apa. Kita bincang dalam keadaan mesra.
"Tak ada isu, kadang-kadang orang luar melihat lain daripada apa yang berlaku di dalam," katanya kepada media selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri ditanya mengenai desas desus yang menyatakan Mesyuarat MKT pada Sabtu lalu mendesak dan mengugut beliau dipecat sebagai Naib Presiden UMNO sekiranya tidak membubarkan Parlimen dengan segera, Berita Harian melaporkan.
Sabtu lalu, MKT UMNO bermesyuarat selepas 158 Ketua Bahagian UMNO membuat desakan pembubaran segera Parlimen, selain hasrat yang sama dikemukakan akar umbi yang hadir pada taklimat khas presiden. - DagangNews.com