Ismail Sabri pilih 'Tindakan Malaysia dalam memerangi COVID-19' sebagai tajuk tesis PhD | DagangNews Skip to main content

Ismail Sabri pilih 'Tindakan Malaysia dalam memerangi COVID-19' sebagai tajuk tesis PhD

Ismail Sabri Yaakob dan Dr Jessica Ong, penyelia tesis UPNM pada sesi kolokium anjuran UUM baru-baru ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Feb - Ketika COVID-19 diisytihar sebagai pandemik global pada Mac 2020, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Menteri Kanan Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap kluster keselamatan.

 

Ini membuatkan Ismail Sabri terlibat langsung merangka dan melaksanakan setiap tindakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak maut itu yang memerlukan kerjasama penuh orang awam.

 

Peranan Ismail Sabri dalam mengawal COVID-19 kemudian bertambah penting apabila beliau kemudiannya dilantik menjadi Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos 2021.

 

Justeru, cukup tepat sekali apabila Ismail Sabri yang kini melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) memilih tajuk 'Tindakan Malaysia dalam memerangi COVID-19' sebagai idea penyelidikan beliau.

 

Berkongsi pembentangan idea dalam Sesi Kolokium Penunut PhD anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini, Ismail Sabri berkata, Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara negara yang terbaik di dalam tindakan memerangi COVID-19.

 

Katanya, tidak ada negara dalam dunia yang boleh dijadikan contoh mengenai tindakan mereka memerangi COVID-19 kerana ia adalah pengalaman yang pertama bagi setiap negara.

 

"Setiap polisi dan tindakan adalah berdasarkan acuan mereka sendiri," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

 

Tesis PhD Ismail Sabri berjudul 'Pembentukan Model Polisi Respons Mendepani Pandemik COVID-19 di Malaysia'.

 

psk

 

Kata bekas Perdana Menteri itu, beliau berharap agar dunia dapat melihat bagaimana pengalaman dan tindakan Malaysia memerangi COVID-19.

 

"Alhamdulillah selesai membentangkan cadangan ‘research’ untuk PhD dalam sesi kolokium kelmarin. Tesis saya adalah mengenai tindakan Malaysia dalam memerangi COVID-19," jelasnya.

 

Turut sama dalam gambar yang disertakan dalam hantaran itu ialah Prof Madya Dr Jessica Ong, penyelia tesis daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

 

Selain Dr Jessica, penyelia pertama tesis ini ialah Prof Dr Rusdi Omar manakala Dr Kamarul Zaman Yusoff sebagai penyelia kedua.

 

Ismail Sabri yang merupakan Menteri Kanan Kluster Keselamatan ketika mula COVID-19 melanda diingati sebagai jurucakap penting kerajaan yang berjaya menasihati dan memperingati orang awam menerusi sidang media hariannya.

 

Perwatakan yang perlu tegas tetapi pada masa sama perlu 'memujuk' rakyat untuk mengikuti arahan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan beliau mendapat jolokon mesra sebagai 'Pak Long' oleh warga maya Malaysia.

 

Ketika menjadi Perdana Menteri, COVID-19 mula reda susulan adanya vaksin, tetapi wabak itu masih menjadi satu ancaman kepada masyarakat dunia dengan hal terpenting ialah fasa pemulihan ekonomi negara pasca pandemik demi kelangsungan kehidupan rakyat.- DagangNews.com