Isu berkaitan digital harus ditangani APEC - Wan Junaidi | DagangNews Skip to main content

Isu berkaitan digital harus ditangani APEC - Wan Junaidi

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pendigitalan dapat membantu meningkatkan produktiviti pada kadar purata sekitar 26% berdasarkan kaji selidik yang dijalankan negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

 

Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam masa sama, ia juga mempunyai potensi yang besar untuk mendorong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah pemulihan yang pantas. 

 

Katanya, transformasi digital dalam kalangan PKS telah berkembang dengan pesat di tengah-tengah krisis pandemik COVID-19. 

 

"Dalam hal ini, inovasi dan teknologi telah membantu meningkatkan ketahanan PKS berdepan dengan kejutan ekonomi akibat wabak ini.

 

"Malah, transformasi ini membawa hubungan yang positif kepada produktiviti PKS, keterangkuman dan aktiviti perniagaan yang berdaya tahan dalam norma baharu sekali gus membantu mencari para pelanggan baharu melangkaui sempadan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan secara maya di Forum Perniagaan Kecil dan Sederhana APEC di Shenzhen, China hari ini. 

 

Ia merupakan Penyataan Menteri PKS ke-26 yang mana beliau menjadi pengerusi sejak 23 Oktober lalu. 

 

Forum itu dianjurkan Pusat Pembangunan Promosi PKS China (CCP) bertemakan Menggalakkan Daya Tahan dan Kelestarian PKS. 

 

Platform itu diwujudkan sejak 2001 di bawah rangka kerja APEC bagi membantu kerjasama ekonomi dalam kalangan perniagaan. 

 

Wan Junaidi berkata, di sebalik manfaat yang diraih menerusi transformasi digital, beliau menyifatkan ia bukan satu tugas yang mudah dan mempunyai cabarannya. 

 

"Terdapat beberapa isu berkaitan digital harus ditangani, antaranya kekurangan dan jurang infrastruktur amat diperlukan bagi menangani negara ekonomi APEC. 

 

"Ini termasuklah kebimbangan mengenai soal keselamatan, kurangnya kepakaran, bakat dan pengetahuan dalam inisiatif pendigitalan, peruntukan yang terhad dan kekurangan akses kepada keterhubungan dan strategi kerjasama digitalisasi," katanya. 

 

Beliau menegaskan, sejajar dengan semangat APEC, adalah penting untuk sama-sama memainkan peranan bagi memperkukuhkan kerjasama bagi membantu PKS menghadapi cabaran terutama ketika berdepan krisis ini. - DagangNews.com