Isu buruh paksa selesai, Top Glove boleh eksport semula sarung tangan ke AS | DagangNews Skip to main content

Isu buruh paksa selesai, Top Glove boleh eksport semula sarung tangan ke AS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Amerika Syarikat (AS) membenarkan Top Glove Corporation Berhad untuk mengeksport dan menjual semula sarung tangan getah keluaran kumpulan ke negara tersebut. 

 

Top Glove dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia memberitahu, ini selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS percaya pembuatan dan pengeluaran sarung tangan oleh kumpulan tiada lagi terpalit dengan isu buruh paksa. 

 

Ekoran itu, produk sarung tangan pakai buang Top Glove dibenarkan memasuki negara itu berkuatkuasa 10 September 2021. 

 

“Top Glove menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CBP di atas tindakannya dalam mengubahsuai dapatan (kajian). 

 

“Top Glove juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pemegang saham syarikat kerana menyokong dan memahami berhubung perkara ini,” jelas Top Glove. 

 

Menurut kenyataan CBP yang disertakan bersama-sama pengumuman Top Glove, jabatan itu memutuskan bahawa barang niaga atau sarung tangan keluaran kumpulan yang diimport ke AS tidak lagi melibatkan buruh paksa berdasarkan maklumat tambahan yang diterima. 

 

Sebelum itu, pada 29 Mac 2021, CBP dengan kelulusan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri menerbitkan Dapatan Kajian bahawa beberapa sarung tangan pakai buang Top Glove didapati dihasilkan dan dikeluarkan dengan penggunaan buruh paksa. 

 

CBP juga mengarahkan pihak berkuasa di semua pelabuhan AS untuk mula membuat rampasan sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan Top Glove.

 

Dalam makluman berbeza, dagangan saham Top Glove dihentikan sementara bermula 9 pagi dan kembali diniagakan pada 10 pagi, hari ini. 

 

Setakat penutupan petang semalam, harga saham Top Glove berada pada kadar RM3.40. - DagangNews.com