Isu kalimah Allah: PM Anwar menghadap Sultan Selangor | DagangNews Skip to main content

Isu kalimah Allah: PM Anwar menghadap Sultan Selangor

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor pada 7 Jun 2023. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

 

Anwar berkata, dalam sesi menghadap itu, Sultan Sharafuddin bersetuju membawa isu kalimah Allah untuk dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos, sebelum diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada Oktober ini. 

 

Katanya, beliau menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.

 

"Saya telah menghadap Sultan Selangor hari ini dan menyembah maklum kepada baginda berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan. 

 

"Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Anwar berkata, kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

 

 

pm

 

 

"Justeru, saya sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak," katanya. - DagangNews.com